ALOR SETAR - Gesaan UMNO Kedah supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen bercanggah dengan pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
Pengarah Komunikasi PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, gesaan berkenaan juga tidak mempunyai keperluan mendesak ketika Kerajaan Madani masih menjalankan pentadbiran.
Menurutnya, UMNO sendiri merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan mempunyai wakil dalam Jemaah Menteri, justeru perlu memahami prinsip tanggungjawab kolektif terhadap keputusan serta perjalanan pentadbiran.
“Kerajaan Madani hari ini masih berfungsi dengan baik dan stabil, malah UMNO sendiri merupakan sebahagian daripada kerajaan serta mempunyai wakil dalam Jemaah Menteri.
“Jika UMNO turut bersama mentadbir kerajaan, maka mereka juga perlu memahami prinsip tanggungjawab kolektif terhadap keputusan dan perjalanan pentadbiran,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri supaya Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan yang mereka mahukan.
Syed Mohd Johan Rizal sebelum ini mendakwa tawaran peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan menambah kekusutan politik negara, selain mendakwa rakyat sudah letih dengan perkembangan politik yang berlebihan.
Tunku Nashrul Abaidah berkata, gesaan berkenaan lebih menghairankan kerana ia bercanggah dengan pendirian Ahmad Zahid yang baru-baru ini menegaskan UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri berkata, berada dalam kerajaan bukan sekadar menikmati kedudukan dan kuasa, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab terhadap rakyat dan negara.
Menurutnya, ketika rakyat mahu kerajaan memberi tumpuan kepada ekonomi, kos sara hidup dan kesejahteraan, isu politik tidak seharusnya mencetuskan ketidaktentuan yang tidak perlu.
“Keadilan Kedah berpandangan tiada keperluan mendesak untuk Parlimen dibubarkan.
“Amanah yang ada harus digunakan untuk bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat sehingga tamat penggal, bukannya tunduk kepada nafsu politik mana-mana pihak,” katanya.