GUA MUSANG - Hujan lebat sejak malam Ahad menyebabkan beberapa kawasan di jajahan ini dilanda banjir kilat, dengan 260 mangsa daripada 67 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 3.45 petang.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Leftenan Mohd Hanafi Mohd Bokry berkata, antara kawasan terjejas ialah Kampung Sungai Asap A, Renok, Jeram Tekoh, Taman Agropolitan Rantau Manis, Felda Perasu dan Felda Chiku 6.
Menurut beliau, hujan lebat yang bermula kira-kira jam 9 malam pada malam Ahad menyebabkan air naik di beberapa kawasan rendah.
"Setakat ini, lima PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas.
"Bagaimanapun, trend air di kebanyakan kawasan terbabit mulai menurun, namun di Kampung Limau Kasturi trend air masih menaik," katanya ketika dihubungi.
Ujar beliau, PPS terbaharu dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 yang menempatkan 38 mangsa daripada sembilan keluarga.
Jelasnya, PPS di SK Jeram Tekoh pula menempatkan 37 mangsa daripada 10 keluarga, manakala Dewan Orang Ramai Zon 3 Jeram Tekoh menempatkan 39 mangsa daripada 10 keluarga.
Mohd Hanafi memberitahu, pihaknya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jajahan Gua Musang terus memantau keadaan terutama di Kampung Limau Kasturi susulan trend paras air yang masih menunjukkan peningkatan.
Ujarnya, orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mengikut arahan yang diberikan.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar menjaga keselamatan dan elak melakukan aktiviti yang membahayakan diri terutama di kawasan dinaiki air," katanya.