Keluarga mangsa nahas helikopter FDS terima bantuan PEKA

Iklan
Nancy meluangkan masa menziarahi keluarga mendiang Debra Moset yang terkorban dalam tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram pada 8 September lalu.

KUCHING - Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyampaikan sumbangan Pemberian Ehsan kepada Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA) kepada keluarga mendiang Debra Moset, jururawat yang maut dalam tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram pada 8 September lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu disalurkan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mangsa.

Iklan
Iklan

"Dalam keadaan seperti ini, kehadiran dan perhatian kita amat penting agar keluarga yang sedang berduka tidak berasa bersendirian.

"Sumbangan ini tidak mampu menggantikan nyawa yang telah pergi, namun saya berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga dalam menghadapi waktu yang amat sukar ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN menziarahi keluarga mendiang di Kampung Semadang, Padawan.

Nancy (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan PEKA kepada keluarga mendiang Debra Moset di Padawan, Sarawak pada Ahad.

Iklan

Dalam lawatan tersebut, keluarga mendiang turut menerima khidmat kaunseling dan sokongan psikologi daripada kaunselor Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN, selain sumbangan bakul makanan.

Ibu mendiang pula disyorkan menerima Bantuan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan mulai Oktober ini.

Manakala, adik bongsu mendiang, Ponis Moses yang merupakan individu kurang upaya fizikal turut didaftarkan untuk menerima bantuan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sementara itu, bantuan PEKA turut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Maziah Che Yusoff kepada keluarga Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamaruddin di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, Jumaat lalu.

Bantuan sama turut diselaraskan untuk disampaikan kepada keluarga Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Senawang, Negeri Sembilan dan keluarga mendiang Alexson Adit Henry serta Jessie Paya Jok di Miri, Sarawak.