SHAH ALAM - Karya Bestari tampil dengan empat judul buku terbaharu yang mengangkat pelbagai aspek kehidupan merangkumi pembentukan akhlak, kesihatan, pembangunan diri serta hubungan antara al-Quran dan sains sempena Jualan Gudang Karangkraf 2026 sehingga 9 November ini.
Antaranya ialah Belajar Menjadi Manusia karya Datuk Dr Abdul Basit Abd Rahman; Food & Life Balance Gaya Nabi SAW; Be The Alpha Muslimah karya Ummu Kalsum IQT dan Benarkah Al-Quran Bercanggah dengan Sains? karya Profesor Madya Dr Muhammad Nazir Mohammed Khalid.
Editor Karya Bestari, Mohd Azli Mohd Ali berkata, setiap judul mempunyai pendekatan dan kekuatan tersendiri, namun berkongsi matlamat sama untuk mendekatkan ilmu Islam kepada masyarakat menerusi penyampaian relevan serta mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, kelainan utama empat judul ini ialah pendekatannya yang dekat dengan persoalan dan cabaran kehidupan masyarakat masa kini.
"Kami tidak mahu buku agama hanya dibaca untuk menambah pengetahuan, sebaliknya mahu pembaca memperoleh panduan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
"Misalnya, Belajar Menjadi Manusia membawa pembaca menilai semula hubungan sesama manusia.
"Kita mungkin menjaga ibadah dengan baik, tetapi bagaimana pula dengan akhlak, tutur kata dan layanan terhadap orang di sekeliling kita?" katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Azli menambah, Food & Life Balance Gaya Nabi SAW menggabungkan panduan pemakanan dan gaya hidup berasaskan sunnah dengan penjelasan daripada perspektif perubatan moden, sekali gus sesuai dengan keperluan masyarakat yang semakin memberi perhatian terhadap penjagaan kesihatan.
Beliau memberitahu, buku Bagi Be The Alpha Muslimah mengetengahkan inspirasi wanita menerusi ketokohan Muslimah hebat dalam sejarah Islam dengan membawa mesej bahawa kekuatan seseorang wanita bukan hanya terletak pada kejayaan luaran, tetapi turut dibina melalui iman, ilmu dan akhlak.
"Bagi pembaca yang gemar berfikir dan meneroka ilmu, Benarkah Al-Quran Bercanggah dengan Sains? pula membincangkan persoalan yang sering timbul tentang hubungan wahyu dengan penemuan sains moden berdasarkan hujah, tafsir dan penelitian ilmiah.
"Inilah kekuatan judul terbaharu Karya Bestari. Setiap buku bukan sekadar menawarkan ilmu sahaja, tetapi turut mengajak pembaca untuk berfikir, bermuhasabah dan melakukan perubahan positif dalam kehidupan," kongsinya.
Dalam pada itu, Mohd Azli berkata, antara judul yang dijangka menarik perhatian pembaca ialah Belajar Menjadi Manusia kerana mesej yang diketengahkan cukup dekat dengan kehidupan setiap individu.
Menurutnya, buku berkenaan mengingatkan pembaca bahawa menjadi Muslim yang baik bukan hanya berkaitan pelaksanaan ibadah khusus seperti solat dan puasa, sebaliknya turut merangkumi cara melayani ibu bapa, pasangan, anak-anak, jiran dan masyarakat.
Mohd Azli memaklumkan, empat judul terbaharu itu ditawarkan pada harga asal antara RM25 hingga RM39 senaskhah dengan pengunjung berpeluang menikmati potongan harga antara 15 hingga 30 peratus bagi buku-buku tertakluk kepada promosi ditetapkan.