KUALA LUMPUR - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan termasuk majikan, penyedia latihan dan persatuan industri bagi menambah baik serta menyelaraskan semula skim latihan agar lebih memenuhi keperluan tenaga kerja negara.
Kajian semula itu bertujuan meningkatkan kualiti latihan yang dibiayai menerusi levi supaya lebih relevan dengan keperluan industri, selain membuka peluang kepada lebih ramai pekerja untuk meningkatkan kemahiran sedia ada (upskilling) dan mempelajari kemahiran baharu (reskilling).
HRD Corp dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, tumpuan turut diberikan kepada program latihan yang mampu memberi impak nyata terhadap pembangunan kemahiran pekerja, khususnya yang menawarkan kelayakan profesional dan pensijilan industri diiktiraf.
Selain itu, kajian berkenaan turut meneliti peluang memperluas sokongan latihan menerusi biasiswa peningkatan kerjaya dan skim latihan berkaitan pekerjaan bagi membantu pekerja meningkatkan kemahiran serta membuka lebih banyak peluang kemajuan kerjaya dan potensi pendapatan.
Menurut kenyataan itu, penambahbaikan skim latihan sedia ada juga akan diteliti bagi memastikan ia terus relevan dengan keperluan industri, selain memperluas akses latihan kepada pekerja daripada pelbagai sektor.
Sementara itu, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan akan diteruskan sehingga penghujung 2026.
Setakat ini, lebih 500 pihak berkepentingan termasuk majikan, penyedia latihan dan persatuan industri menyertai sesi berkenaan yang bermula Ogos lalu bagi mengemukakan pandangan terhadap cadangan penambahbaikan skim latihan HRD Corp.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, kajian semula itu merupakan sebahagian daripada usaha strategik penjajaran semula organisasi bagi memastikan hala tuju dan peranannya terus selaras dengan matlamat asal penubuhan seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB).
“Keutamaan kami adalah untuk memperkukuh mandat teras HRD Corp dalam menyokong majikan membangunkan tenaga kerja melalui latihan yang berkualiti, relevan dan mudah diakses.
“Kami amat menghargai pandangan yang dikemukakan pihak berkepentingan kerana pengalaman serta pemahaman mereka terhadap keperluan tenaga kerja dan industri merupakan elemen penting dalam membentuk rangka kerja latihan yang lebih berkesan,” katanya.
Inisiatif itu turut menyokong Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030 serta aspirasi negara untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.
Pihak berkepentingan boleh meneliti cadangan penjajaran semula berkenaan dan mengemukakan maklum balas menerusi platform konsultasi HRD Corp, ‘HRD Corp Training Framework Review’ di laman sesawang rasmi organisasi itu.
Dalam perkembangan sama, HRD Corp memaklumkan tempoh penghantaran permohonan geran latihan sedia ada akan dikekalkan sepanjang 2027, iaitu tiga hari sebelum pelaksanaan program latihan awam dan 14 hari bagi latihan dalaman (in-house training).
Pengekalan tempoh itu bertujuan memberi ruang dan fleksibiliti kepada majikan untuk merancang serta melaksanakan latihan pekerja dengan lebih teratur tanpa menjejaskan aspek pematuhan dan tadbir urus.
Tempoh penghantaran permohonan berkenaan akan dikaji semula selepas sistem pengesahan kendiri digital HRD Corp (digital self-verification system) selesai dibangunkan pada 2028.