Tiga sekeluarga maut: PM ucap takziah, sumbang RM5,000 kepada mangsa kebakaran

Iklan
Mohamad Hairul Amir (kanan) menyampaikan ucapan takziah mewakili Anwar kepada Raja Ikhwan Hadi (dua dari kiri) selepas menziarahi keluarga berkenaan di Taman Desa Tambun di sini pada Ahad.

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran di Taman Desa Tambun di sini yang mengorbankan tiga ahli keluarga pada Ahad.

Ucapan takziah itu disampaikan Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri ketika hadir mewakili Perdana Menteri bagi menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga mangsa, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, pada Ahad.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sumbangan sebanyak RM5,000 diserahkan kepada keluarga berkenaan bagi membantu meringankan beban mereka susulan kejadian yang menimpa.

"Esok pihak ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) akan datang untuk membuat penilaian dan insya-ALLAH kita akan bantu dari segi kerja baik pulih serta sumbangan lain yang diperlukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan.

Iklan

Mohamad Hairul Amir berkata, pihaknya turut akan mengusahakan bantuan penginapan sementara sekiranya keluarga mangsa memerlukannya berikutan keadaan rumah yang mungkin mengambil masa untuk dibaiki.

"Kalau kita lihat keadaan dalam rumah ini mungkin mengambil masa yang lama. Jadi, daripada pusat khidmat kita akan bantu menyediakan tempat untuk mereka berteduh dahulu sementara proses baik pulih dilaksanakan.

Iklan

"Kita juga akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkaitan mengenai bentuk bantuan yang bersesuaian termasuk kemungkinan khidmat kaunseling kepada keluarga yang terkesan," katanya.

Menurutnya, pihak pusat khidmat turut bersedia membantu urusan pengurusan jenazah tiga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.

Terdahulu media melaporkan pasangan suami isteri warga emas bersama cucu lelaki mereka ditemui maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun di sini awal pagi Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di sebuah rumah di 17 Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun pada jam 4 pagi.