MELAKA - Misteri kehilangan seorang wanita terungkai selepas mayatnya bersama seorang kenalan lelaki ditemukan dalam sebuah kereta di Taman Inang Sari, Durian Tunggal di sini, tengah malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 12 tengah malam berhubung penemuan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat dua individu iaitu seorang wanita dan lelaki berada di dalam kenderaan berkenaan dan kedua-duanya telah meninggal dunia.
"Apabila diperiksa, terdapat seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang wanita berumur 31 tahun di dalam kenderaan.
“Keadaan fizikal mayat yang sudah dalam keadaan kembung dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Beliau berkata, sebelum penemuan itu, ibu kepada wanita berkenaan telah membuat laporan polis pada 17 September lalu selepas anaknya tidak pulang ke rumah.
Katanya, wanita berkenaan yang berstatus bujang kali terakhir dilihat menaiki sebuah kereta berwarna hitam.
"Belum sempat siasatan kehilangan orang itu dijalankan, polis menerima maklumat berhubung penemuan kenderaan yang dipercayai dinaiki mangsa.
"Polis kemudian mengenal pasti wanita terbabit sebagai individu yang dilaporkan hilang," katanya.
Ahmad berkata, pemeriksaan awal di lokasi tidak menemukan sebarang kesan samun atau pergaduhan.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut dan bedah siasat.