KOTA KINABALU - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang dilaporkan meninggal dunia pada tengah hari, Ahad.
Difahamkan, beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan.
Karim merupakan antara tokoh politik veteran Sabah dan pernah mewakili DUN Bongawan selama lima penggal iaitu sejak tahun 1990 hingga 2013.
Sepanjang penglibatannya dalam pentadbiran negeri, beliau turut pernah dilantik sebagai Pembantu Menteri dalam Kabinet Sabah.
Rekod Warta Kerajaan Negeri Sabah turut menyenaraikan Karim antara individu yang dilantik sebagai Pembantu Menteri berkuat kuasa pada 27 Mac 2004.
Karim memulakan khidmatnya sebagai ADUN Bongawan selepas memenangi kerusi berkenaan pada 1990 atas tiket Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), sebelum kemudiannya bersama UMNO dan terus mempertahankan kerusi itu hingga 2008.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, beliau tidak dicalonkan semula di Bongawan dan kerusi berkenaan ditandingi Datuk Mohamad Alamin atas tiket Barisan Nasional (BN).
Karim kemudian menyertai Parti Warisan (Warisan) dan kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Kimanis pada 2018.
Pada pilihan raya itu, beliau tewas tipis dengan majoriti 156 undi kepada Datuk Seri Anifah Aman yang ketika itu bertanding atas tiket BN, sebelum Karim mencabar keputusan berkenaan melalui petisyen pilihan raya.
Beliau sekali lagi diberi kepercayaan mewakili Warisan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020 selepas keputusan PRU14 bagi kerusi berkenaan dibatalkan mahkamah, namun tewas kepada calon BN, Mohamad.
Dalam perkembangan politik terakhirnya, Karim mengumumkan keluar parti berkenaan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Mac 2024.