Peletakan jawatan Anthony Loke: Keputusan di tangan PM - Khaled Nordin

Iklan
Mohamed Khaled (empat dari kiri) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 pada Ahad.

KOTA TINGGI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memutuskan sama ada menerima atau menolak tawaran peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan mengenai peletakan jawatan Anthony itu akhirnya terletak di tangan Perdana Menteri, susulan tindakan pemimpin DAP terbabit menawarkan diri untuk melepaskan jawatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Iklan
Iklan

“Mengenai peletakan jawatan itu, saya pun tidak tahu sama ada mahu meletakkan jawatan, menawarkan diri, atau sebaliknya. Semua sedia maklum, pada akhirnya keputusan terletak di tangan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, dekat sini pada Ahad.

Iklan

Anthony sebelum ini menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selama hampir tiga jam pada Sabtu.

Beliau menjelaskan tindakan itu hanya membabitkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik negara.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berpandangan tindakan berhubung peletakan jawatan berkenaan merupakan urusan Anthony dan tidak wajar dicampur dengan isu lain.

"Soal DAP itu terserah kepada mereka, apa mesej yang hendak mereka beri, itu terserah. Hal dialah, nak letak jawatan ke, nak panjat pokok ke itu hal dia," katanya.