KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan keputusan berkenaan dapat ditentukan.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu pemakluman rasmi berhubung keputusan itu.
"Selaras dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 19 September 2026, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan keputusan berkenaan dapat ditentukan," menurut kenyataan itu pada Ahad.
Pada Jumaat, media melaporkan Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.
Menurut kenyataan sama, berdasarkan makluman Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Keputusan itu membenarkan baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Jabatan Penjara turut menjelaskan, sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi sewajarnya sebelum dikemukakan kepada jabatan itu untuk tindakan selanjutnya.
"Jabatan Penjara Malaysia sentiasa bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa yang berkenaan, selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.
"Jabatan ini akan melaksanakan sebarang keputusan dan arahan yang diterima secara teratur, profesional dan berintegriti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkenaan," katanya
Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyeru semua pihak supaya merujuk sumber rasmi dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pelaksanaan keputusan tersebut.