SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal berada di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta dibayar kepada mahkamah.
Perkara itu dimaklumkan peguam bela dan peguamcara Najib, Tetuan Shafee & Co. menerusi kenyataan bagi pihak beliau yang dikeluarkan pada Ahad.
Menurutnya, anak guam dan pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikal.
"Sepertimana yang dinyatakan dengan jelas dalam pengumuman tersebut, pelaksanaan tahanan rumah bagi anak guam kami bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang," katanya.
Pada Jumaat lepas, Sinar Harian melaporkan Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.
Berhubung syarat pembayaran denda RM50 juta itu, Tetuan Shafee & Co. menjelaskan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Menurut peguam, keadaan itu menyebabkan pelupusan aset berkenaan tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib pada masa ini.
"Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat tersebut oleh itu bergantung, sebahagiannya, kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau," menurutnya.
Dalam pada itu, Tetuan Shafee & Co. memaklumkan, Najib sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut.
Menurutnya, Najib turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja terhadap beliau.
Peguambela dan peguamcara Najib itu berkata, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan terhadap permohonannya.
Tambahnya, Najib turut menyatakan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ahli Majlis Tertinggi UMNO dan kepimpinan serta ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat yang sentiasa berdiri teguh bersama beliau.
"Anak guam kami turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.
"Beliau merasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau," kongsinya.
Bagaimanapun, Tetuan Shafee & Co. memaklumkan, Najib tidak mahu mana-mana pihak termasuk parti, ahli dan penyokongnya serta orang ramai berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas namanya.
"Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan.
"Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini," tambahnya.
Dalam perkembangan sama, peguam berkata, anak guam mereka mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai dan semua yang sentiasa mendoakan beliau.
Bagaimanapun, kongsi Tetuan Shafee & Co, Najib memohon agar privasi keluarga beliau dihormati, dan pihak peguam memaklumkan tidak akan mengulas lanjut buat masa ini.