KANCHANABURI - Sekumpulan jiran sanggup mengusung seorang wanita warga emas yang terlantar sejauh kira-kira sembilan kilometer dalam hujan lebat semata-mata untuk membolehkannya menyelesaikan masalah kad ATM di sebuah bank.
Seapuey Thongphachangon, 90, terpaksa dibawa dari kampung terpencil Ko Sadeung ke Kampung Kong Mong Tha, daerah Sangkhla Buri, Kanchanaburi, Thailand pada Isnin lalu.
Menurut perkongsian seorang pengguna Facebook, usaha tersebut melibatkan sukarelawan pertahanan kampung, sukarelawan kesihatan, anggota jabatan pencegah kebakaran hutan dan penduduk setempat.
Mereka mengusung Seapuey menggunakan pengusung sementara sejauh kira-kira sembilan kilometer dalam keadaan hujan sebelum membawanya menaiki kenderaan ke lokasi cawangan bank berkenaan.
Difahamkan, kad ATM milik wanita itu tidak dapat digunakan dan dia perlu hadir sendiri ke bank bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Seorang pegawai yang mengetahui perkara itu berkata, keluarga Seapuey lazimnya menggunakan kad berkenaan untuk mengeluarkan wang setiap bulan bagi menampung kos penjagaannya.
Tindakan kumpulan berkenaan mendapat pujian orang ramai yang tersentuh dengan kesanggupan mereka membantu wanita terbabit meskipun terpaksa meredah hujan dan laluan sukar.
Bagaimanapun, kejadian itu turut mencetuskan gesaan supaya bank dan pihak berkuasa menyediakan akses perkhidmatan kewangan yang lebih mudah kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Menurut Bangkok Post, perjalanan keluar masuk Ko Sadeung menjadi semakin sukar ketika musim hujan apabila jalan raya di kawasan berkenaan sering tidak boleh dilalui.
Keadaan kawasan yang terpencil selain jalan yang basah dan berbahaya turut menyukarkan penduduk mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya berlaku kecemasan.