SAO PAULO - Cubaan seorang pembunuh bersiri meloloskan diri dengan menyamar sebagai wanita sambil mendukung seorang bayi terbongkar apabila dia akhirnya dicekup, sekali gus membawa kepada pembukaan semula puluhan kes pembunuhan di Brazil.
Jorlan Lopes da Silva, 33, disyaki membunuh sekurang-kurangnya 16 individu di wilayah Mulungu, negeri Paraiba.
Pihak berkuasa menjejakinya selama dua sehari sebelum berjaya diberkas pada akhir minggu lalu.
Jurucakap Polis Paraiba, Gerlane Pereira memaklumkan da Silva mengaku terlibat dalam 11 lagi kes pembunuhan.
Ketika ditahan, da Silva memakai gaun hitam berjalur putih, rambut palsu dan kuku yang dicat.
Polis turut memberkas dua lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah sama.
Menurut pihak berkuasa, kanak-kanak yang didukung da Silva ketika cuba melarikan diri itu bukan anaknya.
Polis mendawa da Silva merupakan anggota geng jenayah yang bertanggungjawab membunuh puluhan individu di wilayah berkenaan.
Dia turut memberitahu polis bahawa pembunuhan pertama dilakukannya ketika berusia 13 tahun.
Wilayah Mulungu, lokasi kejadian pembunuhan berkenaan terletak kira-kira 2,500 kilometer dari Rio de Janeiro. - Agensi