KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai reaksi parti terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas cadangan peletakan jawatan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di sini pada Sabtu.
Menurutnya, pada masa sama, anggota Kabinet dan Timbalan Menteri daripada DAP serta mereka yang memegang jawatan lain dalam kerajaan akan kekal dalam jawatan masing-masing buat sementara waktu bagi memastikan kestabilan politik terjamin.
"Justeru itu, CEC telah pun membuat keputusan. Yang lain walaupun mereka juga bersedia dan sanggup melepaskan jawatan pada mana-mana waktu, pada apa-apa ketika, tetapi CEC telah membuat keputusan sementara waktu ini mereka akan kekal berada dalam jawatan untuk memastikan kestabilan politik masih terjamin," katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan pada Sabtu.
Anthony berkata, DAP menyedari ada pihak yang menunggu parti itu keluar daripada kerajaan kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan ketidakstabilan politik, hilang keyakinan dan majoriti Perdana Menteri, selain berkemungkinan membawa kepada pembubaran Parlimen atau perubahan kerajaan.
"Kita tidak memberi ruang kepada mereka dalam perkara ini," katanya.
Beliau berkata, keputusan untuk mengekalkan anggota lain dalam kerajaan adalah tindakan yang dianggap bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang tindakan politik DAP menyebabkan ketidakstabilan politik.
"Jadi ini satu tindakan yang kita rasa bertanggungjawab kerana kita tidak mahu apa-apa tindakan politik kita ini menyebabkan ketidakstabilan politik," katanya.
Menurutnya, pendirian DAP diterjemahkan melalui peletakan jawatannya sebagai anggota Jemaah Menteri dan beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Menjawab soalan sama ada peletakan jawatan itu muktamad atau masih terbuka kepada rundingan, Anthony berkata, keputusan itu sudah dibuat dan beliau akan mengemukakan peletakan jawatan.
"Saya telah katakan bahawa saya mengemukakan cadangan ini kepada mesyuarat CEC tadi dan telah pun dibincangkan dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah pun berlaku," katanya.
Mengenai perancangan Kementerian Pengangkutan selepas peletakan jawatannya, beliau berkata kementerian itu akan terus berfungsi seperti biasa dan perancangan serta projek yang sudah dibuat akan diteruskan.
Katanya, beliau memerlukan sedikit masa untuk menguruskan beberapa perkara yang masih tertunggak dalam kementerian sebelum berbincang dengan Perdana Menteri, namun tempoh berkenaan tidak akan lama.
"Perancangan yang telah pun dibuat, projek-projek yang telah pun dilaksanakan akan akan diteruskan. Sebab Kementerian tidak berhenti berfungsi apabila Menteri letak jawatan," katanya.
Anthony berkata, keadaan sama boleh berlaku sekiranya Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan atau berlaku pertukaran Menteri.
Beliau turut menjelaskan keputusan tidak meletakkan semua anggota Jemaah Menteri daripada DAP adalah bagi mengelakkan kerajaan tumbang dan tidak memberi ruang kepada pihak lawan menggugat kestabilan politik negara serta kerajaan pimpinan Anwar.
"Kalau semua letak jawatan sekarang ini, mungkin kerajaan akan tumbanglah.
"Ini yang diinginkan oleh lawan kita. Kita tak nak memberi peluru ini kepada pihak lawan," katanya.
Beliau berkata, DAP mengetahui pihak lawan akan cuba menggugat kestabilan politik negara dan kerajaan pimpinan Anwar sekiranya semua anggota Jemaah Menteri daripada parti itu mengosongkan jawatan.
"Jadi ini kita tahu ini harapan mereka. Mereka cuba provok kita dan sebagainya tetapi pada masa yang sama, kita juga membuat satu pendirian dengan melalui terjemahan kepada keputusan yang saya buat," katanya.