ALOR SETAR - UMNO Kedah mengingatkan semua pihak supaya tidak mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan berkenaan tidak seharusnya dijadikan polemik kerana dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang dan kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, Yang diPertuan Agong telah melaksanakan kuasa budi bicara dan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Pertama sekali, UMNO Negeri Kedah dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas limpah ihsan, kebijaksanaan dan budi bicara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas perkenan Tuanku memutuskan perkara besar berkaitan Datuk Seri Najib.
"Keputusan yang diperkenankan oleh Tuanku itu kami terima dengan penuh rasa syukur, rendah hati dan penghormatan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Yang di-Pertuan Agong serta sistem Perlembagaan dan undang-undang negara".
"Pada masa yang sama saya nak ingatkan bahawa jangan ada pihak yang cuba bermain sentimen dengan membuat kenyataan yang menidakkan kuasa Prerogatif Tuanku Agong yang sememangnya dibuat atas jalur undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.
Jelas Mahdzir, perkara berkenaan perlu diterima dengan terbuka oleh semua pihak dan rakyat kerana kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dibangkitkan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Jangan kerana pihak yang menerima keistimewaan itu bukan di pihak kita, kita terus menolak dan mempertikaikan keputusan tersebut tetapi menyokong penuh tanpa pertikai apabila melibatkan pihak yang disokong,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkara itu juga tidak seharusnya dimanipulasi bagi meraih populariti atau sokongan undi menjelang mana-mana pilihan raya.
Menurutnya, Perkara tersebut perlu diterima secara berlapang dada oleh semua pihak dan seluruh lapisan rakyat jelata.
“Saya menyeru supaya perkara tersebut tidak dimanipulasi demi untuk meraih populariti atau sokongan dalam bentuk undi dalam mana-mana pilihan raya nanti dan jangan juga dijadikan modal untuk berkempen sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata UMNO Kedah turut melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak di semua peringkat bahagian UMNO di negeri itu.
Katanya, tabung berkenaan diwujudkan sebagai tanda sokongan kepada bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri itu bagi membantu melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.