Kian Ming gesa DAP beri 'kata dua' kepada Anwar singkirkan UMNO daripada Kabinet

Iklan
Kian Ming gesa DAP beri 'kata dua' kepada Anwar 'singkirkan' UMNO

SHAH ALAM - DAP digesa memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyingkirkan UMNO daripada Kabinet Kerajaan Perpaduan sebelum mesyuarat pada Rabu depan.

Cadangan itu dikemukakan sebagai tindak balas terhadap keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah selepas pengampunan bersyarat diberikan.

Iklan
Iklan

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, langkah berkenaan akan menunjukkan kesungguhan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dalam menyatakan ketidaksetujuan terhadap pendirian UMNO yang memohon pengampunan untuk Najib, selain mengumpul dana bagi membayar denda RM50 juta bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut bekas ahli DAP itu, cadangan tersebut turut mengambil kira cabaran yang pernah dibuat Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Anwar menyingkirkan anggota Kabinet daripada parti itu.

Iklan

"Tanpa sokongan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan andaian parti itu menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan, masih memungkinkan untuk Belanjawan 2027 diluluskan dalam persidangan Parlimen hujung tahun yang akan datang memandangkan Kerajaan Perpaduan masih mempunyai majoriti kecil di Dewan Rakyat.

"Tetapi Anwar perlu segera melantik pengganti kepada tujuh anggota Kabinet daripada UMNO dan memastikan mereka memahami tugas masing-masing dengan cepat supaya mereka boleh membentang dan membahaskan belanjawan bagi kementerian masing-masing.

Iklan

"Memberi kata dua sedemikian kepada Anwar akan lebih masuk akal bagi DAP berbanding pengumuman bahawa ia akan meletakkan jawatan daripada kerajaan sebagai akibat daripada tahanan rumah Najib," katanya menerusi pandangan yang dikongsikan di media sosial pada Sabtu.

Tambah Kian Ming, kata dua berkenaan perlu disertai ancaman yang boleh dipercayai dengan DAP mesti menyatakan akan meletakkan jawatan daripada Kabinet sebelum mesyuarat Kabinet pada 23 September sekiranya Anwar enggan menggugurkan UMNO.

Selain itu, beliau turut mencadangkan DAP mempertimbangkan untuk menarik balik sokongan 40 ahli Parlimennya terhadap Kerajaan Perpaduan sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

Bagaimanapun beliau berkata, penarikan sokongan berkenaan merupakan langkah lebih berisiko kerana ia boleh membawa kepada pembubaran Parlimen sekiranya BN turut menarik balik sokongan 30 Ahli Parlimennya.

“Jika isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan tahanan rumah Najib benar-benar merupakan satu ‘garis merah’ bagi DAP, maka adalah munasabah bagi parti itu bukan sahaja meninggalkan Kabinet, malah menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya Anwar tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut,” katanya.

DAP dijadual mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) hari ini bagi menentukan pendirian dan tindakan susulan parti berhubung pengampunan bersyarat Najib.