Hubungan parti Kerajaan Perpaduan kekal baik - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

JAKARTA - Hubungan antara parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan kekal baik selepas keputusan Lembaga Pengampunan melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam menguruskan hal ehwal kerajaan semua pihak bertindak secara profesional dengan keputusan Jemaah Menteri dibuat secara kolektif.

Iklan
Iklan

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu yang diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan sepanjang tempoh tahanan di rumah.

Iklan

Susulan perkembangan tersebut pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri itu untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah tidak menjejaskan ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Jelasnya, semua kes rasuah termasuk melibatkan Najib yang masih berjalan, perlu diteruskan mengikut proses dan landasan undang-undang.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, keputusan Lembaga Pengampunan berhubung Najib yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong adalah terikat dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan, yang diputuskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong adalah keputusan yang terikat dengan beberapa klausa di dalam Perlembagaan Malaysia. Tentunya Tuanku telah mengambil perkiraan bahawa aspek perundangan menjadi panduan terhadap keputusan pengampunan.

“Jika mana-mana pihak mempertikaikan keputusan Tuanku Agong, ertinya ia tidak selari dengan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan dan UMNO serta BN sendiri berpendirian bahawa undang-undang itu harus dipatuhi.

“Pendirian itu adalah jelas sebagaimana kenyataan-kenyataan yang pernah saya keluarkan sebelum ini,” ujar beliau.