Abdul El-Sayed lakar sejarah jadi senator Muslim pertama di AS

Iklan
Kemenangan El-Sayed dalam persaingan sengit itu turut menandakan kejayaan sayap progresif Parti Demokrat. Foto Agensi

DETROIT - Calon Demokrat, Abdul El-Sayed pada Rabu memenangi kerusi Senat Amerika Syarikat (AS) dengan 52.3 peratus undi, sekali gus melakar sejarah sebagai Muslim pertama dipilih dan mengekalkan kerusi penting Demokrat di dewan itu yang sebelum ini didominasi Parti Republikan (GOP).

Kemenangan El-Sayed dalam persaingan sengit itu turut menandakan kejayaan sayap progresif Parti Demokrat selain menggagalkan usaha GOP merampas kerusi yang ditinggalkan Senator Demokrat, Gary Peters.

Iklan
Iklan

El-Sayed, 42, bekas pegawai kesihatan awam menjadikan usaha meringankan beban kos sara hidup keluarga pekerja dan membendung pengaruh korporat dalam politik sebagai teras kempen beliau.

Antara agenda yang diperjuangkannya ialah Medicare for All iaitu program penjagaan kesihatan sejagat yang dibiayai kerajaan dan menjadi antara dasar yang diperjuangkan golongan progresif dalam partinya.

Iklan

Pencabarnya, Mike Rogers, 63, bekas anggota Kongres dan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang meraih 45.7 peratus undi turut mendapat sokongan kuat Presiden Donald Trump serta kepimpinan Republikan di peringkat nasional.

Rogers cuba memburukkan imej El-Sayed dengan menggelarnya calon radikal yang mempunyai kaitan dengan ekstremisme Islam menerusi dakwaan kononnya beliau mempunyai hubungan dengan Gerakan Ikhwanul Muslimin. Bagaimanapun, El-Sayed menafikan dakwaan itu yang tidak disokong bukti jelas setakat ini.

Iklan

Demokrat pula menyifatkan serangan terhadap El-Sayed sebagai bersandarkan stereotaip Islamofobia.

Rogers turut berusaha meraih sokongan pengundi Yahudi yang mungkin kurang senang dengan pendirian El-Sayed menentang bantuan ketenteraan AS kepada Israel dan kenyataannya yang menyifatkan kempen pengeboman ke atas Genting Gaza sebagai genosid.

Bagaimanapun, Rogers berdepan kesukaran menangani kebimbangan pengundi terhadap keadaan ekonomi dan tahap sokongan yang kian rendah terhadap Trump.

Menjelang minggu akhir kempen, Rogers turut mengambil pendirian berbeza daripada Trump berhubung perang di Iran dan pertikaian perdagangan AS-Kanada dengan menegaskan bahawa kedua-dua isu itu perlu ditamatkan bagi mengurangkan kos yang ditanggung oleh perniagaan serta pengguna. - Agensi