LUCKNOW - Seorang lelaki didakwa dipaksa menderma darah sebelum ditahan lebih empat hari dan dijadikan pembantu rumah selepas gagal membayar ansuran telefon bimbitnya.
Mangsa, Newal, dilaporkan tidak mempunyai pekerjaan atau sumber pendapatan tetap sehingga gagal membayar ansuran pertama telefon bimbit bernilai kira-kira RM1,000 yang dibelinya pada penghujung Julai lalu.
Susulan itu, pada Khamis, polis menahan dua pekerja sebuah syarikat pembiayaan swasta berhubung kejadian berkenaan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Lucknow Selatan, Mohammad Mushtaque berkata, kedua-dua suspek dikenali sebagai Aniket Singh dan Sushant Sharma, manakala seorang lagi suspek, Shubham Singh masih diburu.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada ibu mangsa selepas Newal didakwa dibawa secara paksa dari rumahnya oleh beberapa individu pada 8 September lalu.
"Kes didaftarkan pada 14 September berdasarkan laporan ibu mangsa dan siasatan kemudian dijalankan," katanya kepada media.
Hasil siasatan, polis mengenal pasti suspek sebagai pekerja syarikat pembiayaan swasta menerusi rekod panggilan dan bukti saintifik lain.
Siasatan mendapati Newal membeli telefon bimbit daripada sebuah kedai tempatan dengan pembiayaan daripada syarikat yang berpangkalan di kawasan Gomti Nagar.
Pinjaman itu ditetapkan dengan bayaran ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM130 selama setahun.
Bagaimanapun, Newal yang tidak mempunyai pekerjaan gagal membayar ansuran pertama.
Pada 8 September, ejen kutipan bayaran, Aniket dan Shubham didakwa datang ke rumah mangsa sebelum membawanya ke sebuah bank darah.
Di lokasi berkenaan, Newal didakwa dipaksa menderma satu unit darah dan wang yang diperoleh daripada pendermaan itu kemudiannya dikutip oleh suspek.
Mangsa selepas itu didakwa dibawa ke rumah Shubham dan ditahan selama lebih empat hari serta dipaksa melakukan kerja rumah sebagai pembantu domestik.