IPOH – Tiga remaja lelaki maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang di sini awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, dua mangsa masing-masing berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam sebelum anggota polis dikejarkan ke lokasi.
"Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru Raya menghala ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan.
"Seramai sembilan penunggang motosikal lain berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun mengalami kecederaan yang belum dikenal pasti dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Muhammad Najib berkata, seorang lagi mangsa lelaki berusia 19 tahun yang menerima rawatan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB.
"Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai tiga orang, manakala sembilan penunggang motosikal yang lain mengalami kecederaan.
"Ketiga-tiga pemandu kereta yang terlibat pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
"Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan kenderaan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya," katanya.