NEW DELHI - Penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dalam keadaan mengerikan di kawasan lapang membongkar kes pembunuhan kejam selepas mangsa didakwa dirogol bergilir-gilir dan ditikam sebelum dicampakkan di lokasi berkenaan.
Kejadian menggemparkan itu berlaku di Swaroop Nagar, ibu kota India dengan keadaan mayat mangsa sudah reput teruk sehingga menyukarkan pasukan forensik mengenal pasti jantinanya.
"Sebahagian tubuh mangsa telah dimakan anjing liar manakala sebelah tangannya ditemukan berasingan di kawasan berkenaan," menurut laporan media tempatan.
Pihak berkuasa pada Khamis mengesahkan empat individu telah dikenal pasti sebagai suspek termasuk tiga remaja lelaki berusia antara 16 dan 17 tahun.
Penemuan mayat gadis itu dibuat di kawasan ladang berhampiran Kushak Road, Swaroop Nagar selepas polis menerima laporan pada akhir minggu lalu.
Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dan mereka dipercayai minum bersama di dalam sebuah van sebelum mangsa diperkosa serta dibunuh.
Keluarga mangsa tidak melaporkan kehilangannya kerana dia sering keluar rumah dan pulang selepas beberapa hari.
Polis berkata, kes itu berjaya diselesaikan selepas mereka menganalisis rakaman daripada lebih 50 kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanan seorang pemandu van.
Maklumat daripada soal siasat itu membantu polis menjejaki tiga lagi suspek.
Pihak berkuasa turut merampas dua bilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu dan pakaian berlumuran darah yang dipakai suspek ketika kejadian. - Agensi