Isu pengintipan telefon Prabowo: Ini reaksi Jokowi

Iklan
Jokowi (tengah) menunjukkan diploma miliknya di dalam kamar mahkamah bagi membuktikan kesahihannya. - Foto Agensi

JAKARTA – Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, pada Khamis hadir memberi keterangan dalam perbicaraan kes fitnah membabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Roy Suryo, berhubung dakwaan diploma universiti miliknya adalah palsu.

Beliau dipanggil pihak pendakwaan sebagai saksi selepas membuat laporan polis yang membawa kepada pertuduhan terhadap kedua-dua defendan.

Iklan
Iklan

Ia merupakan penampilan pertama beliau di khalayak ramai sejak skandal pengintipan telefon yang mencetuskan kontroversi pada 3 November lalu, sekali gus membawa kepada penahanan bekas Ketua Polis Nasional, Listyo Sigit Prabowo. Sebelum ini, Listyo pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi Jokowi

Ribuan penyokong turut menyambut ketibaan Jokowi di Mahkamah Daerah Jakarta Timur dan sebahagian daripada mereka membawa sepanduk tertera 'Kami percaya kepada Jokowi dan UGM' merujuk kepada universiti tempat beliau melanjutkan pengajian, Universiti Gadjah Mada. Penyokong kedua-dua tertuduh juga hadir.

Iklan

Selain Roy, seorang lagi tertuduh ialah aktivis kesihatan, Tifauzia Tyassuma. Kedua-duanya menghadapi perbicaraan berasingan

Ketua Polis Jakarta Timur, Alfian Nurrizal berkata, seramai 6,770 anggota polis dan tentera dikerahkan bagi memastikan keadaan terkawal.

Iklan

Media tempatan termasuk portal berita fajar.co.id dan rmol.id melaporkan beberapa ahli politik dan pemerhati membuat spekulasi bahawa Jokowi mungkin mempunyai kaitan dengan skandal pengintipan telefon itu setelah mengambil kira hubungan rapat beliau dengan Listyo.

Ketika disoal wartawan tentang isu kontroversi itu, Jokowi tidak memberikan sebarang jawapan dan terus berjalan sambil melemparkan senyuman kepada orang ramai.

Pada Rabu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan, Yusril Ihza Mahendra memaklumkan siasatan masih tertumpu kepada tiga suspek pegawai kanan polis serta saksi berkaitan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian dan menegaskan sesiapa sahaja termasuk Jokowi boleh dipanggil untuk disoal siasat sekiranya terdapat fakta serta bukti mencukupi. - Agensi