WASHINGTON - Ketua Demokrat bagi Senat Amerika Syarikat (AS), Chuck Schumer berkata pada Rabu, "kami akan menamatkan perang" dengan Iran dan akan ada sokongan daripada beberapa anggota Senat daripada Parti Republikan, lapor Xinhua.
"Bapa-bapa pengasas negara telah menetapkan 'kuasa ke atas perbelanjaan' (power of the purse) sebagai salah satu cara untuk mengekang presiden yang melancarkan perang tanpa persetujuan rakyat Amerika," kata Schumer dalam sidang akhbar di ibu pejabat Jawatankuasa Kempen Senator Demokrat di Washington, D.C.
Iklan
Iklan
Kenyataan Schumer itu dibuat beberapa jam selepas pemilihan ketika Parti Demokrat dijangka mengambil alih kawalan Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Presiden Donald Trump memberitahu The Wall Street Journal pada malam Selasa bahawa perang tersebut merupakan antara punca kekalahan meluas Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa beliau tidak menyesal melancarkan perang itu pada awal tahun ini.
"Iran adalah salah satu faktornya," kata Trump dalam satu temu bual telefon dengan akhbar harian AS tersebut apabila ditanya sama ada perang itu menyumbang kepada prestasi buruk Parti Republikan dalam pilihan raya berkenaan.
Pada Jun, empat senator Republikan telah mengundi bersama pihak Demokrat untuk menyokong satu resolusi kuasa perang yang mengarahkan Trump supaya menarik balik tentera AS daripada perang terhadap Iran iaitu tindakan yang diambil tanpa kebenaran rasmi daripada Kongres untuk menggunakan kekerasan tentera.- Bernama-Xinhua