PENGAMPUNAN yang diperoleh oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat.
Namun permohonan yang dibuat oleh beliau selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, malah sudah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Najib menjadi seorang individu yang beruntung kerana walaupun sudah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara, beliau berjaya memperoleh pengurangan atau diskaun tempoh penjara.
Beliau kemudiannya dapat pengampunan bersyarat dan perlu menjalani hukuman tahanan rumah serta membayar denda sebanyak RM50 juta.
UMNO pula akan memulakan tabung kutipan bagi membolehkan Najib dapat membayar denda tersebut.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini sudah berusia 73 tahun dan terlibat hampir 50 tahun dalam politik.
Beliau jadi Ahli Parlimen Pekan pada 1976. Waktu itu beliau baru berusia 23 tahun dan pada tahun 1978 dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos.
Najib menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun pada tahun 1982. Beliau mencatat sejarah sebagai menteri besar yang paling muda di negara ini pada ketika itu.
Kemuncak kerjaya politiknya, beliau jadi Perdana Menteri yang keenam pada tahun 2009 selepas Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan.
Jadi banyak jasa-jasa Najib kepada rakyat yang kita tak boleh padam sejarahnya.
Cuma kemuncak kerjaya politik beliau teruji apabila namanya dikaitkan secara langsung dengan kontroversi syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sabitan bersalah dalam kes SRC International pada Ogos 2022 menyaksikan beliau mula menjalani hukuman penjara, satu episod yang mengejutkan landskap politik tanah air.
Sepanjang proses kehakiman tersebut, pihak pembelaan konsisten mengetengahkan hujah bahawa beliau tidak mendapat manfaat peribadi secara sedar daripada dana berkenaan.
Pengurangan hukuman melalui proses pengampunan diraja kini membuka satu lagi dimensi baharu dalam dinamika politik Malaysia.
Walaupun isu ini terus mencetuskan perbincangan hangat antara pelbagai pihak, pengaruh figura yang pernah mencetuskan fenomena 'Bossku' ini tetap mempunyai kelompok sokongan yang tersendiri dalam landskap politik semasa.
Sementara penyokong kuat reformasi mungkin terpaksa menerima keputusan itu dengan hati yang pedih dan kecewa.
Ia mungkin juga akan menjejaskan imej dan kredibiliti Pakatan Harapan. Yang paling menjadi perhatian ialah kenyataan Nga Kor Ming selaku pemimpin kanan DAP yang pernah mengeluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet jika Najib dibebaskan.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian