PADA Khamis lalu, saya bersama dua sahabat di pejabat berkunjung ke sebuah medan selera di Seksyen 19, Shah Alam.
Terdapat pelbagai pilihan makanan di situ, antaranya makanan Cina Muslim, cendol dan kuih-muih. Namun, perhatian saya tertumpu kepada sebuah kedai yang menjual nasi ayam pada harga RM5 sepinggan. Lebih menarik, pelanggan boleh mendapatkan tambahan nasi secara percuma.
Kami tertanya-tanya bagaimana peniaga ini mampu menjual pada harga RM5, malah masih memberikan tambahan nasi secara percuma, sedangkan ada golongan peniaga lain di media sosial mengeluh mengenai peningkatan kos perniagaan.
Sudah tentu kita perlu memahami kos operasi setiap perniagaan berbeza mengikut lokasi, kadar sewa, jumlah pekerja, pembekal dan jenis perniagaan.
Peniaga yang mengusahakan restoran di tengah ibu kota Kuala Lumpur, misalnya, berdepan struktur kos yang berbeza berbanding pengusaha kedai makan di tepi jalan di Sungai Buloh.
Justeru, tidak adil untuk membandingkan harga makanan tanpa mengambil kira keseluruhan kos operasi sesebuah perniagaan.
Bagaimanapun, saya tabik peniaga nasi ayam berkenaan kerana masih berusaha menawarkan makanan pada harga mampu dibeli ramai. Semoga perniagaannya terus maju.
Namun, persoalan lebih besar yang timbul ialah sejauh manakah harga makanan di Malaysia masih mampu dikekalkan pada paras berpatutan, khususnya apabila dunia berdepan risiko kenaikan harga komoditi makanan?
Mari kita lihat hasil Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Menurut kajian itu, purata perbelanjaan penggunaan isi rumah di Malaysia ialah RM5,566 sebulan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM876 atau 15.7 peratus dibelanjakan untuk makanan dan minuman.
Ini bermakna sebahagian besar perbelanjaan isi rumah diperuntukkan bagi memenuhi keperluan makanan. Bagi golongan berpendapatan rendah, kenaikan harga makanan walaupun sedikit boleh memberikan kesan besar terhadap baki pendapatan yang boleh digunakan untuk keperluan lain.
Persoalannya, adakah keadaan ini akan menjadi lebih mencabar pada tahun depan? Bank Dunia dalam laporan Commodity Markets Outlook bertarikh 28 Oktober 2026 menjangkakan harga komoditi makanan dunia meningkat sekitar 10 peratus pada 2026 dan bertambah lagi sebanyak tujuh peratus pada 2027. Secara kumulatif, kenaikan dianggarkan sekitar 18 peratus dalam tempoh dua tahun tersebut.
Antara faktor menyumbang kenaikan itu ialah konflik geopolitik yang mengganggu perdagangan dan penghantaran bijirin, peningkatan harga tenaga serta baja yang meningkatkan kos pertanian, selain fenomena El Nino yang berpotensi menjejaskan hasil tanaman. Kos pengangkutan dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa turut memberikan tekanan kepada harga komoditi.
Walaupun unjuran itu merujuk kepada harga komoditi makanan dunia dan bukannya kadar inflasi makanan di Malaysia, perkembangan tersebut tetap perlu diberikan perhatian kerana negara masih bergantung kepada import bagi sebahagian keperluan makanan dan input pertanian. Kenaikan harga komoditi antarabangsa berpotensi meningkatkan kos pengeluaran dan seterusnya mempengaruhi harga makanan di pasaran tempatan.
Di sinilah timbul persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran inflasi makanan. Kerajaan perlu memastikan pengeluaran makanan tempatan dipertingkatkan, membantu petani dan penternak menguruskan kos operasi serta memperbaiki rantaian bekalan supaya makanan dapat sampai kepada pengguna pada harga yang munasabah.
Pada masa sama, peniaga juga perlu mencari pendekatan perniagaan yang lebih cekap bagi mengawal kos tanpa menjejaskan kualiti makanan. Kisah nasi ayam RM5 di Seksyen 19, Shah Alam mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberikan satu gambaran bahawa makanan pada harga berpatutan masih boleh ditawarkan melalui model perniagaan yang sesuai.
Akhirnya, isu makanan bukan sekadar mengenai berapa harga yang perlu dibayar oleh pengguna atau berapa keuntungan yang diperoleh peniaga. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita memastikan rakyat terus mampu membeli makanan, sementara peniaga pula masih boleh menjalankan perniagaan secara mampan dan memperoleh keuntungan yang wajar. Inilah keseimbangan yang perlu dicapai dalam menghadapi cabaran inflasi makanan pada 2027.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian