SEJARAH kota Madinah selepas hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar kisah kejayaan membina sebuah negara, malah merupakan contoh bagaimana sebuah masyarakat yang berbeza latar belakang, agama dan bangsa, berjaya disatukan berpaksikan nilai persaudaraan, keadilan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama.
“Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda berhadapan dengan sebuah masyarakat yang sangat majmuk.
Bagaimanapun menurut JAIPk, Rasulullah SAW tidak membiarkan perbezaan tersebut sebagai alasan untuk terus berselisih faham hingga bermusuh.
“Baginda mengurus dengan kebijaksanaan melalui keadilan, perjanjian, tanggungjawab bersama dan penghormatan terhadap hak setiap kelompok.
“Nabi mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar serta membentuk kerangka kehidupan bersama melalui Piagam Madinah.
“Perbezaan tidak dihapuskan, tetapi diuruskan dengan adil dan bijak, kepelbagaian tidak dijadikan punca perpecahan, sebaliknya dimanfaatkan untuk membina masyarakat yang aman dan tersusun,” jelasnya.
Begitu indahnya masyarakat yang dibina Rasulullah SAW melalui persaudaraan, bersedia membantu antara satu sama lain.
Ujar khatib, nilai persaudaraan seperti inilah yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian pada hari ini.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada diri sendiri.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Menurut JAIPk, daripada sirah Rasulullah SAW, terdapat empat pedoman penting yang perlu kita amalkan dalam usaha membina masyarakat majmuk yang harmoni:
1 - Tegakkan keadilan kepada semua
Apabila keadilan terpelihara, lahirlah keyakinan dan kepercayaan. Sebaliknya apabila keadilan diabaikan, timbul rasa terpinggir, kebencian dan perpecahan. Justeru, jadilah Muslim yang adil dalam perkataan, keputusan dan tindakan.
2 - Hormati perbezaan tanpa menggadai prinsip agama
Islam mengajar supaya teguh dalam akidah, pada masa yang sama berakhlak mulia ketika menjalin hubungan dengan mereka yang berbeza agama.
Keteguhan prinsip agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik, berlaku adil dan menjaga hubungan sesama manusia. Islam menuntut kita tegas pada prinsip, tetapi santun dalam pergaulan.
3 - Bina hubungan melalui akhlak yang mulia
Kekuatan dakwah Rasulullah SAW terserlah melalui akhlak Baginda. Meski memiliki kuasa, Baginda memilih kelembutan.
Baginda mempunyai kedudukan, tetapi tawaduk; Baginda boleh membalas keburukan, namun memilih kemaafan dan kebijaksanaan. Akhlak begini yang perlu kita hidupkan dalam keluarga, masyarakat dan negara.
4 - Mengutamakan persamaan yang menyatukan
Kita mungkin berbeza bangsa, bahasa, budaya dan adat resam. Namun kita berkongsi tanah air, menikmati keamanan yang sama dan mempunyai tanggungjawab bersama untuk memelihara kestabilan negara.
Sebagai kesimpulan khatib berpesan, Rasulullah SAW tidak sekadar membina sebuah negara, tetapi membina manusia yang amanah, adil, penyayang, pemaaf dan menghormati orang lain.
“Baginda mengajar bahawa keamanan masyarakat bermula dengan keamanan hati, perpaduan bermula dengan akhlak dan keharmonian bermula dengan kesediaan ummah untuk menghormati masyarakat di sekelilingnya.
“Negara kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
“Apa sahaja perbezaan dan sebarang perselisihan sesama rakyat hendaklah diselesaikan secara beradab dan berakhlak, berteraskan undang-undang serta peraturan dan berpaksikan semangat Perlembagaan,” jelasnya.