JOHOR BAHRU - Setiap ahli UMNO dicadangkan menyumbang RM50 seorang bagi membantu mengumpulkan dana RM50 juta untuk membayar denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sasaran RM50 juta itu boleh dicapai sekiranya sejuta daripada lebih tiga juta ahli UMNO menyumbang RM50 setiap seorang.
Beliau berkata, cadangan itu selari dengan saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya parti mengadakan kutipan dana bagi membantu Najib melunaskan denda berkenaan.
“Saya sokong saranan Zahid bahawa UMNO akan buat kutipan dana untuk bayar denda RM50 juta yang Najib kena bayar.
“Walaupun saya bukan lagi ahli UMNO, Insya-ALLAH saya pasti akan memberi sumbangan.
“Oleh kerana UMNO ada ahli melebihi tiga juta orang, maka alangkah baik kalau sejuta ahli menyumbang RM50. Dengan mudah RM50 juta sudah terkumpul,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Khamis.
Sebelum ini, UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu meringankan beban Najib dalam melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan berkaitan baki hukuman tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Ahmad Zahid berkata, parti berharap seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan agar menyumbang secara sukarela.
Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, dirinya kekal dengan pendirian bahawa Najib menjadi mangsa dendam politik Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tetap yakin Najib mangsa dendam politik Mahathir,” katanya.
Beliau bagaimanapun secara berseloroh meminta supaya pandangannya itu tidak dianggap sebagai campur tangan dalam urusan berkenaan.
“Diharap saya tidak dicop penyibuk,” katanya.