SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ibu bapa kepada seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang mengalami kecederaan tulang belakang selepas kerusinya ditarik rakan ketika hendak duduk, gagal dalam tuntutan saman RM1 juta di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Anita Harun membuat keputusan itu selepas menolak saman yang difailkan remaja berkenaan bersama bapanya, Wan Amey Shahril Wan Ab Rahman, 39, masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua.
Saman tersebut difailkan terhadap tiga guru, Ilyana Sari Ridzuan, Suhaida Abdul Rahman dan Aizam Naim Mohd Junid; guru besar, Hamidah Shamsudin, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keenam.
Ketika membacakan keputusan ringkas, Anita berkata, plaintif pertama menghadiri program pendidikan khas di sebuah sekolah kebangsaan di sini pada 12 Oktober 2023.
Menurutnya, murid itu yang kini berusia 14 tahun mengalami patah tulang femur kiri mendakwa keenam-enam defendan cuai.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati, seorang guru mempunyai kewajipan untuk menjaga murid, namun kewajipan itu bukanlah satu jaminan terhadap setiap kecederaan.
Beliau berkata, insiden itu berlaku terlalu pantas untuk dijangka atau dicegah oleh mana-mana guru yang berada di tempat kejadian ketika itu.
“Defendan pertama menegaskan telah berada di lokasi kejadian seorang diri dan tumpuannya telah terbahagi.
“Keperluan mandatori yang didakwa mengenai kehadiran dua orang guru tidak dapat dibuktikan.
“Versi plaintif pertama bahawa kejadian itu berlaku akibat tidak menerima pengawasan sewaktu jatuh hingga menyebabkan kecederaan tersebut juga gagal dibuktikan,” katanya.
Anita berkata, berdasarkan kronologi kes, pihak perubatan meletakkan masa kejadian pada jam 10 pagi, manakala ibu mangsa memaklumkan insiden berlaku pada jam 10.40 pagi manakala Azera Yazid, 38, tiba di sekolah pada jam 11.20 pagi.
“Mahkamah juga menerima keterangan bahawa mangsa menangis dan kemudian bergerak ke arah bapanya.
“Prosedur sekolah menyokong tindakan menghubungi ibu bapa, namun tidak mewajibkan bantuan ambulans.
“Mengambil kira bantuan yang diberikan, kehadiran pantas ibu mangsa, pemerhatian guru-guru serta tempoh yang telah berlalu, pengambilan oleh ibu bapa berbanding pengangkutan kecemasan bukanlah tidak munasabah dengan sendirinya.
“Kanak-kanak tersebut sepatutnya kekal berehat dan menerima bantuan sewajarnya apabila bergerak ke arah bapanya,” katanya.
Anita berkata, tiada kegagalan pentadbiran yang menyebabkan kerugian dapat dibuktikan, manakala asas yang diperlukan untuk menentukan liabiliti juga gagal dibuktikan atas imbangan kebarangkalian.
Justeru katanya, tindakan plaintif-plaintif ditolak dan dikehendaki membayar kos kepada semua defendan berjumlah RM10,000.
Sementara itu, peguam, Soffian Azmir yang mewakili dua plaintif ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.
"Kami percaya telah mahkamah terkhilaf maka plaintif akan membuat rayuan secepat mungkin.
"Sepatutnya di kelas pendidikan khas diberikan lebih pengawasan namun tidak diberikan," katanya.
Dalam prosiding, semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Afiq Nazrin Zaharinan.
Sebelum ini, kisah remaja berkenaan mendapat perhatian umum selepas Sinar Harian melaporkan pada 4 Ogos 2024 bahawa dia menderita akibat komplikasi kecederaan tulang belakang susulan insiden tersebut.
Dalam pernyataan tuntutan, keluarga mangsa mendakwa anaknya mengalami kesakitan yang amat sangat selepas seorang pelajar lain menarik kerusinya ketika dia hendak duduk.
Menurut keluarga itu, pihak sekolah menghubungi Azera bagi memaklumkan kejadian berkenaan.
Azera kemudian mendakwa meminta bantuan pihak sekolah untuk menghubungi ambulans supaya anaknya mendapatkan rawatan, namun permintaan tersebut didakwa ditolak tanpa sebab yang sah.
Pasangan suami isteri itu kemudiannya pergi ke sekolah sebelum membawa ke sebuah hospital pakar di sini.
Hasil pemeriksaan mendapati anaknya mengalami patah tulang ekor yang tergelincir akibat jatuh pada bahagian punggung.
Mangsa yang menghidap cerebral palsy turut didakwa mengalami gangguan traumatik susulan kejadian berkenaan.
Wan Amey Shahril berkata, pihaknya menghantar surat tuntutan kepada defendan pada 23 November 2024.