[VIDEO] Nahas empat sekeluarga maut: Penuntut universiti mengaku tidak bersalah pandu melulu

Iklan

KLUANG - Seorang penuntut universiti di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya, pada Jun lalu.

Tertuduh, Goh Yin Zun, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Mercedes-Benz dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di Kilometer 27, Jalan Renggam ke Simpang Renggam pada kira-kira jam 1.19 petang pada 1 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Iklan

Goh Yin Zun (depan) didakwa di Mahkamah Majistret Kluang pada Jumaat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azam, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

Iklan

Nik Noratini meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM 20,000 namun Mohd Daud meminta jumlah jaminan dikurangkan mengambil kira tertuduh merupakan pesalah muda.

Mohd Daud turut memberitahu mahkamah, tertuduh sedang mengikuti diploma pengajian perniagaan di Singapura.

Selain itu, Mohd Daud menjelaskan tertuduh memberikan kerjasama baik sejak ditahan reman sehingga dibebaskan dengan jaminan polis pada Jun lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Kes akan disebut semula pada 20 November depan.

Pada 1 Jun lalu, empat sekeluarga maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam di hadapan penjara Simpang Renggam di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dalam kenyataan berkata, suspek dipercayai memandu sebuah Mercedes Benz A250 secara laju dan melulu bersama sebuah BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun.

Menurut beliau, kemalangan berlaku kira-kira 1.15 petang apabila BMW 530e hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan lain.

Keempat mangsa yang maut ialah Aiman Mohd Rashid, 36, Nor Azlina Abd Latip, 33, Semek Mat Soh, 73, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10. Semua mereka yang maut menaiki Toyota Vios.

Bagaimanapun, abang suspek maut dalam nahas ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta bagi mendapat rawatan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebelum ini mengarahkan polis mengklasifikasikan siasatan terhadap nahas meragut empat nyawa sebagai kes bunuh.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan muktamad mengenai pertuduhan hanya akan diputuskan selepas Jabatan Peguam Negara meneliti secara menyeluruh hasil siasatan polis.