MELAKA – Seorang guru tari berdepan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini pada Jumaat.
Badrulsaufi Wahid, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Berdasarkan dua pertuduhan membabitkan mangsa pertama berusia 14 tahun 10 bulan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 12 dan 13 September 2026 di sebuah rumah di Krubong, di sini.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun pada penghujung Disember 2025 di sebuah hotel di Melaka Tengah dan awal Jun 2026 di sebuah rumah di Krubong.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan dengan menyentuh mangsa bagi maksud seksual.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM40,000 berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah.
Umar berkata, anak guamnya bekerja sebagai guru tari dan jurusolek serta mempunyai alamat tetap di Krubong selain meminta mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh sebagai pesalah muda.
Beliau turut memaklumkan anak guamnya bersedia mematuhi syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tertuduh tidak mendekati atau mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan.
Kes disebut semula pada 20 Oktober depan.