IPOH - Kekuatan modal koperasi di Perak terus kukuh apabila jumlah syer dan yuran mencecah RM553 juta setakat 31 Disember 2025.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan itu menunjukkan keyakinan lebih 355,000 anggota terhadap peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 1,755 koperasi berdaftar di negeri ini dengan nilai aset keseluruhan mencecah RM1.62 bilion.
"Perolehan koperasi juga meningkat daripada kira-kira RM706 juta pada 2024 kepada RM792 juta pada 2025, iaitu pertumbuhan sekitar 12 peratus dalam tempoh setahun," katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi (MAGK26) Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Pengarah SKM Perak, Mohd Firdaus Hussin.
Saarani berkata, cabaran utama kini adalah menterjemahkan kekuatan sedia ada kepada perniagaan yang lebih produktif, pasaran lebih luas serta pulangan lebih baik kepada anggota.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.1 juta bagi pembangunan usahawan dan koperasi dalam Belanjawan Perak 2026, meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu katanya, Geran Koperasi Perak (GKOP) sebanyak RM350,000 turut disediakan bagi membantu koperasi memperkukuh serta mengembangkan aktiviti perniagaan.
"Bagi tahun ini, sebanyak 22 koperasi menerima geran berjumlah RM1.134 juta dan bantuan ini perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk berkembang, bukan sekadar sokongan sementara," katanya.
Sementara itu, Ahmad Norihan berkata, koperasi perlu berubah menjadi entiti perniagaan yang lebih profesional, berdaya tahan dan berorientasikan pertumbuhan bagi kekal relevan dalam persekitaran ekonomi semasa.
Katanya, SKM akan terus memastikan ekosistem koperasi negara kekal kondusif melalui peranan bukan sahaja sebagai badan kawal selia, tetapi juga pemudah cara pembangunan.
"Bagi 2026, Kerajaan Persekutuan menyediakan RM254 juta untuk 28 program pembangunan koperasi, antara peruntukan terbesar pernah disalurkan kepada sektor ini," katanya.
Dalam majlis itu, turut disampaikan penghargaan kepada 11 koperasi di Perak yang tersenarai dalam profil 100 koperasi terbaik negara bagi tahun 2026.
Koperasi Guru-Guru Sekolah Malaysia Berhad menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Koperasi Terbaik Peringkat Negeri Perak 2026 apabila mencatat pendapatan RM59 juta serta aset melebihi RM405 juta, melibatkan kira-kira 10,000 anggota melalui aktiviti pelaburan dan perkhidmatan.
Tempat kedua dimenangi Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Seberang Perak Berhad, manakala tempat ketiga milik Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad.
Sementara itu, Koperasi Bukit Gantang Berhad menerima Anugerah Koperasi Harapan Negeri Perak 2026, manakala Koperasi Politeknik Ungku Omar Ipoh Berhad dinobatkan sebagai Koperasi IPT Terbaik.
Bagi kategori sekolah, Koperasi MRSM Bagan Datuk Berhad dipilih sebagai Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Perak tahun ini.