ZAPAR kutip RM175 juta, sasar lonjakan kutipan zakat menjelang Disember
Iklan
Ahmad Nazim (dua dari kanan) menyarungkan medal kepada peserta ZapaRun 2026 di Bangunan ZAPAR di Ipoh pada Ahad.
IPOH – Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) merekodkan kutipan zakat sebanyak RM175 juta bersama kira-kira 60 peratus daripada sasaran ditetapkan bagi tahun 2026.
Pengurus Besar ZAPAR, Ahmad Nazim Md Tajuri berkata, pihaknya kini memasuki suku terakhir tahun ini dengan baki 40 peratus lagi perlu dikutip bagi mencapai sasaran berkenaan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, tempoh Disember lazimnya menjadi penyumbang utama kepada kutipan zakat pada penghujung tahun dengan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan kutipan diperoleh pada bulan berkenaan.
“Jadi, insya-ALLAH kalau momentum ini betul dan kesedaran masyarakat untuk tidak culas membayar zakat, kita akan dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.
Iklan
“Kita berharap masyarakat terus cakna terhadap tanggungjawab membayar zakat supaya sasaran kutipan tahun ini dapat dicapai,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan ZapaRun 2026 di Bangunan ZAPAR di sini pada Ahad.
Iklan
Ahmad Nazim berkata, selain kutipan zakat, pihaknya turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh kutipan wakaf yang ketika ini berada pada tahap kira-kira 47 peratus daripada sasaran.
Katanya, ZAPAR memerlukan tambahan kira-kira 50 peratus lagi kutipan wakaf bagi mencapai sasaran tahun ini.
“Kita harap kesedaran melalui program seperti ini akan lebih menyuburkan masyarakat untuk cakna bahawa kita bukan sahaja fokus kepada kutipan zakat, tetapi ZAPAR juga sangat mengalu-alukan dana wakaf daripada orang ramai bagi membangunkan projek-projek wakaf,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata ZapaRun 2026 yang menghimpunkan 700 peserta turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan berwakaf.
Menurutnya, program larian sejauh lima kilometer itu mengetengahkan konsep berwakaf sambil mengamalkan gaya hidup sihat dengan sebahagian yuran penyertaan disalurkan kepada projek wakaf di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Setakat hari ini, kita sudah memperoleh lebih RM15,000 daripada wakaf yang akan disalurkan kepada MAIPk untuk dimanfaatkan bagi projek-projek wakaf.
“Konsep wakaf dalam acara larian seperti ini jarang dibawa bersama. Kita mahu masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti ini, bukan sahaja dari segi kesihatan, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan wakaf,” katanya.
Beliau berkata, antara manfaat projek wakaf ialah membantu mengurangkan kos rawatan dialisis kepada pesakit yang memerlukan.
Katanya, kos rawatan dialisis boleh mencecah kira-kira RM3,000 sebulan, namun kos berkenaan dapat dikurangkan menerusi kemudahan pusat rawatan dialisis yang dibangunkan menggunakan dana wakaf.
Ahmad Nazim berkata, pihaknya turut berharap penganjuran ZapaRun dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan penyertaan lebih ramai masyarakat.
ZapaRun 2026 yang dianjurkan buat julung kali itu menyasarkan 500 peserta, namun sambutan luar biasa menyaksikan pendaftaran terpaksa ditutup lebih awal selepas jumlah penyertaan melebihi sasaran, dengan keseluruhan 700 peserta berjaya dihimpunkan.
Lebih membanggakan, kejayaan penyelidikan yang dilaksanakan di perairan negeri ini bukan sahaja membolehkan bekalan benih kerang diperoleh sepanjang tahun, malah memendekkan tempoh penternakan kepada sekitar lima ke enam bulan bagi satu kitaran pengeluaran.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/802681/edisi/perak/benih-kerang-tidak-putus-potensi-perak-jadi-pusat-pembiakan-terbaik-dunia
Muzik: Neptune- Spotlight dari bensoud.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.