Ingatkan halal, rupa-rupanya ayam sembelihan tidak patuh syarak

Iklan
Ayam diproses menggunakan kaedah water bath stunning yang menyebabkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih. Foto: Sinar Harian/ ROSLI TALIB

SELAMA ini kita membeli ayam dengan keyakinan ia halal untuk dimakan, namun bayangkan ayam yang menjadi hidangan keluarga setiap hari rupa-rupanya diproses dengan cara yang menimbulkan keraguan terhadap status halalnya.

Itulah kebimbangan yang timbul susulan pendedahan kegiatan penyembelihan ayam tidak mengikut syarat syarak di sebuah gudang di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Lebih mengejutkan, premis itu dipercayai mempunyai kapasiti memproses lebih 40,000 ekor ayam sehari untuk pasaran, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kegiatan itu sudah menjejaskan rantaian bekalan makanan negara.

Dalam serbuan Op Taring Chiller, pihak berkuasa merampas 6,555 kilogram ayam mentah bernilai RM85,400 dan menahan 12 lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan.

Iklan

Apa yang lebih mengejutkan ialah kaedah pemprosesan ayam yang didakwa direndam dalam air panas sehingga mati sebelum disembelih.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik dipercayai digunakan terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum melalui proses penyembelihan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati premis itu menggunakan kaedah stunning (dan) ayam didapati mati sebelum disembelih.

"Ini seolah-olah mereka menyembelih bangkai dan bukan lagi ayam hidup seperti mana diperlukan mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.

Isu ini bukan sekadar pelanggaran prosedur penyembelihan, tetapi membabitkan amanah pengusaha dan hak pengguna Islam mendapatkan makanan yang diyakini halal.

Dalam hal ini, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa umat Islam tidak berdosa sekiranya memakan makanan yang tidak halal tanpa mengetahui status sebenar bekalan berkenaan.

Mereka juga tidak diwajibkan membayar 'kaffarah', menggantikan makanan yang sudah dimakan atau melakukan amalan tertentu bagi menyucikan diri.

Penjelasan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pengguna yang mungkin pernah membeli atau memakan ayam daripada sumber yang terjejas.

Hakikatnya, pengguna bukan sekadar membeli ayam untuk mengisi perut, tetapi meletakkan kepercayaan bahawa setiap makanan yang dibawa pulang memenuhi tuntutan agama.

Apabila amanah itu dikhianati, bukan sahaja keyakinan terhadap status halal tercalar, malah umat Islam berdepan risiko menjadikan makanan yang tidak menepati syarak sebagai darah daging.