Apa khabar longkang kawasan anda?

Iklan
Kebanyakan kejadian banjir kilat di negara ini berpunca daripada masalah kebersihan, khususnya longkang dan saliran yang tersumbat. Foto fail Bernama

MONSUN Timur Laut (MTL) bakal tiba dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang musim berkenaan dan berpotensi menyebabkan banjir, terutama berhampiran sungai serta kawasan rendah.

Setiap kali MTL tiba, keresahan masyarakat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur terhadap ancaman banjir kembali memuncak. Namun, hakikatnya banjir, terutama banjir kilat, boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa mengira musim.

Iklan
Iklan

Banjir kilat bukan sahaja berpunca daripada hujan lebat, malah turut dipengaruhi sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik.

Di sebalik tumpuan terhadap ketibaan MTL, ada satu persoalan asas yang mungkin terlepas pandang: apa khabar longkang di kawasan anda?

Iklan

Kepentingan sistem perparitan dan penyelenggaraannya secara berkala bukan perkara asing, namun sikap sambil lewa masyarakat terhadap kebersihan longkang dan parit terus menyumbang kepada kejadian banjir kilat yang berulang.

Beberapa kejadian membuktikan kelemahan sistem saliran awam apabila tidak diselenggara dengan baik, antaranya insiden banjir kilat di ibu negara pada September lalu.

Iklan

Hujan lebat dengan taburan mencecah 155.5 milimeter (mm) di Kuala Lumpur baru-baru ini menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan susulan limpahan air daripada sistem saliran yang tersumbat.

Dalam kejadian di Alor Setar pada Mei 2025, siasatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mendapati longgokan sampah sarap dalam longkang menjadi punca utama takungan air sehingga menyebabkan banjir kilat di kawasan terlibat.

Itu antara contoh yang berlaku, namun hakikatnya banyak kejadian banjir kilat berpunca daripada aliran longkang yang terhalang sampah sarap, sisa binaan, tumbuhan liar dan lumpur sehingga menjejaskan kapasiti saliran.

Penulis sendiri pernah melaporkan beberapa kejadian banjir dan banjir kilat di Pahang yang dikaitkan dengan masalah perparitan, malah isu sama berulang hampir setiap tahun.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat dua tahun lalu berkata, kebanyakan kejadian banjir kilat di negara ini berpunca daripada masalah kebersihan, khususnya longkang dan saliran yang tersumbat.

Katanya, masalah itu memerlukan kesedaran dan kerjasama masyarakat di peringkat komuniti, khususnya dalam meningkatkan amalan menjaga kebersihan bagi membantu menangani isu berkenaan.

Pada pandangan penulis, kerajaan Persekutuan dan negeri sebenarnya telah mengambil pelbagai usaha untuk menangani isu berkenaan.

Misalnya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini mengumumkan pelan tindakan menangani kawasan tumpuan banjir secara berfasa dalam tempoh 12 bulan hingga Oktober tahun depan, merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.

Antara langkah jangka pendek termasuk kerja pembersihan saliran serta penyingkiran kelodak dan halangan bagi mengurangkan risiko banjir, khususnya menjelang MTL.

Berbalik kepada peranan masyarakat, tanggungjawab menjaga sistem perparitan bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan kepekaan dan kerjasama penduduk setempat.

Longkang yang semakin cetek, penutup saliran yang rosak, saluran tersumbat atau tertimbus hingga menghalang aliran air perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Pihak berkuasa pula perlu menyediakan saluran aduan yang mudah diakses, mengambil tindakan segera dan memaklumkan perkembangan penyelesaian kepada penduduk.

Persiapan menghadapi MTL bukan sekadar menyediakan pusat pemindahan, bot penyelamat dan bantuan kecemasan, malah usaha pencegahan di peringkat kejiranan juga perlu diberi perhatian sama.

Sebelum hujan lebat kembali melanda, luangkan sedikit masa untuk memeriksa keadaan saliran di sekitar kediaman kita. Usaha kecil hari ini mungkin mampu mengurangkan risiko banjir kilat pada masa depan.

*Nik Amirulmumin Nik Min ialah wartawan Sinar Harian Pahang