PRESIDEN baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada tanggungjawab menerajui badan induk bola sepak negara.
Ab Ghani berkata, keputusan itu sudah dibuat lebih awal kerana beliau tidak mahu fokusnya terbahagi dengan memegang dua jawatan dalam badan bola sepak yang mempunyai tanggungjawab berbeza.
"Saya tidak boleh fokus kalau pegang dua jawatan. Kita tahu ada masalah dalam FAM yang perlu difokuskan. Biarlah pengurusan liga diteruskan oleh orang lain supaya ia berjalan dengan baik," katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 di Petaling Jaya pada Khamis.
Menurutnya, proses peralihan perlu dilakukan dengan baik termasuk memastikan individu yang bakal mengambil alih jawatan presiden MFL dapat meneruskan pengurusan liga domestik tanpa menjejaskan perjalanan pertandingan.
"Perbincangan mengenai pengganti sedang dilakukan bersama rakan-rakan termasuk bagi menentukan wakil yang akan mengambil alih kerusi berkenaan di MFL.
Ditanya sama ada Presiden Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad antara calon yang disebut untuk mengambil alih jawatan itu, Ab Ghani tidak menafikan wujud nama yang diperkatakan, namun enggan mengulas lanjut selagi keputusan belum dibuat di peringkat kepimpinan MFL.
"Itu kerusi panas. Itu cakap-cakap di luar, saya tak boleh komen. Siapa-siapa pun boleh petik nama. Saya tak boleh komen selagi ia belum diputuskan di peringkat kepimpinan MFL," katanya.
Ab Ghani sebelum ini menerajui MFL dan turut mempunyai pengalaman dalam pengurusan bola sepak domestik sebelum kembali menggalas tanggungjawab lebih besar sebagai presiden FAM selepas memenangi pemilihan pada Khamis.
Beliau memperoleh 20 undi berbanding lima undi yang diraih pencabarnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar, sekali gus dipilih sebagai presiden FAM bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029.
Dengan pelantikan itu, Ab Ghani kini perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh semula FAM, termasuk menyelesaikan teguran dan saranan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Pasukan Petugas (Task Force), selain memulihkan keyakinan pemegang taruh terhadap badan induk itu.