GEORGE TOWN – Penang FC merehatkan ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Super.
Susulan daripada itu, Pengarah Teknikal, Victor Andrag akan mengambil alih tugas berkenaan.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi berkata, keputusan itu bukan semata-mata susulan kekalahan 1-2 kepada Melaka FC pada Ahad, sebaliknya dibuat selepas pihak pengurusan berulang kali meneliti prestasi pasukan.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC berkata, pihak lembaga sebelum ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan pasukan dan menyampaikan perkara itu kepada pengurusan serta Wan Rohaimi bagi tujuan penambahbaikan.
“Justeru, lembaga pengarah memutuskan untuk merehatkan Wan Rohaimi sebagai ketua jurulatih," katanya kepada ketika ditemui di pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Isnin.
Pada November 2024, Penang FC mengumumkan pelantikan Wan Rohaimi sebagai Ketua Jurulatih Penang FC yang baharu bagi menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan.
Wan Rohaimi yang berusia 50 tahun telah memulakan tugasnya serta-merta bagi mengemudi pasukan Harimau Kumbang untuk menghadapi baki perlawanan hingga hujung musim Liga Super 2024/2025.
Dalam perkembangan sama, Daniel berkata, keputusan itu juga sebahagian daripada perancangan teknikal kelab memandangkan pencapaian pasukan ketika ini jauh daripada sasaran serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pada awal musim.
“Berdasarkan keputusan yang dicapai setakat ini, kita merasakan pasukan masih jauh daripada sasaran. Jadi, kita tiada pilihan selain merehatkan jurulatih buat sementara waktu.
"Victor akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih bagi mempersiapkan Penang FC menghadapi perlawanan Liga Super seterusnya menentang Kuala Lumpur City FC pada 22 November ini," ujarnya lagi.
Daniel berkata, setakat ini keputusan berkenaan hanya melibatkan ketua jurulatih namun pihak lembaga pengarah turut akan meneliti prestasi bahagian lain dalam kelab berkenaan.
Beliau berkata, kelemahan prestasi pasukan sebelum ini telah dimaklumkan kepada Wan Rohaimi namun pihak pengurusan masih belum melihat perkembangan positif yang diharapkan.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan kontrak Wan Rohaimi dijadualkan tamat pada Disember ini dan kelangsungannya turut bergantung kepada keputusan serta prestasi pasukan.
Katanya, pelantikan ketua jurulatih tetap akan dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah selepas persidangan DUN Pulau Pinang berakhir.
“Saya ingin menegaskan bahawa kelab adalah segala-galanya. Kelab jauh lebih besar daripada mana-mana individu.
“Kita akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan prestasi pasukan mencapai sasaran ditetapkan dan membalas sokongan yang diberikan penyokong Harimau Kumbang,” katanya.