AS tolak campur tangan konflik Saudi-Huthi

Iklan
Pertempuran sengit antara pasukan kerajaan Yemen dan Huthi turut berlaku di kawasan berhampiran sempadan Riyadh. - Foto AFP

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mengambil pendekatan 'lebih berhati-hati' terhadap Huthi selepas wakilnya mengadakan rundingan secara langsung dengan kumpulan disokong Iran itu di Oman ketika pertempuran antara puak itu dan pakatan diketuai Arab Saudi semakin sengit di Sanaa.

Ketika pertemuan di Muscat pada akhir minggu lalu, wakil Huthi memberi jaminan kepada pegawai Washington bahawa kumpulan itu tidak berhasrat menyerang kapal AS dan kekal komited terhadap gencatan senjata yang dicapai pada 2025.

Iklan
Iklan

Pertemuan AS-Huthi sedikit sebanyak menjelaskan keputusan Presiden Donald Trump yang hanya mengecam kemaraan Huthi di sepanjang pantai barat Yemen kerana mengancam kebebasan pelayaran di Selat Bab al-Mandab, namun pada masa sama beliau belum mengambil sebarang tindakan ketenteraan bagi membantu Riyadh.

Pendirian Washington juga seakan-akan mula berubah setelah Naib Presiden AS, JD Vance mengesahkan bahawa AS sedang mengadakan hubungan secara langsung dengan Huthi.

Iklan

Pada masa yang sama, Washington turut mengulangi sokongannya terhadap kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Riyadh dilaporkan berdepan kekurangan peluru berpandu pemintas hingga terpaksa meminta bantuan sekutu serantau dan negara Barat untuk menangkis serangan bertalu-talu dilancarkan pejuang Huthi.

Iklan

Jurucakap Pusat Perintah AS (CENTCOM), Tim Hawkins, berkata, Washington sedang memantau dengan teliti perkembangan konflik antara Huthi dan kerajaan Yemen yang disokong Saudi.

Penganalisis percaya AS menolak untuk campur tangan dalam konflik itu kerana bekalan peluru dan pemintas misil miliknya juga kian berkurangan akibat perang tiada kesudahan dengan Iran.

Keputusan AS untuk tidak terbabit secara langsung meningkatkan tekanan terhadap Saudi untuk mencari penyelesaian diplomatik dengan Huthi berhubung masa depan pemerintahan Yemen atau membentuk pakatan serantau bersama Pakistan dan Turkiye bagi memaksa kumpulan itu berundur.

Dalam serangan pantas pada minggu lalu, Huthi berjaya menguasai kawasan yang luas di barat Yemen di sepanjang pantai Laut Merah. - Agensi