Tangkal 'kebal', pakaian musuh Op Daulat dipamer kepada umum

Iklan
Jauteh (dua dari kiri) ketika melawat ruangan Galeri Polis Sabah di IPK Sabah.

KOTA KINABALU - Tangkal didakwa mampu menjadikan pemakainya kebal daripada senjata musuh yang dirampas ketika pertempuran Op Daulat di Tanduo, Lahad Datu adalah antara koleksi menarik dipamerkan di Galeri Polis Sabah kepada orang awam bermula Khamis. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bahan asli berkenaan dipamerkan sebagai sebahagian daripada sejarah peristiwa penting yang pernah berlaku di Sabah.

Iklan
Iklan

"Pakaian yang dipaparkan semuanya asli. Ada alat yang dipercayai tangkal, senjata yang digunakan musuh dan juga pakaian yang dirampas ketika pertempuran.

"Apabila mereka menggunakan alat yang dikenali sebagai tangkal ini, ada kepercayaan bahawa ia menyebabkan mereka tidak lut senjata atau ada yang mendakwa musuh tidak akan melihat mereka," katanya ketika ditemui pemberita semasa pembukaan Galeri Polis Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, galeri berkenaan bukan sahaja mengetengahkan peristiwa berdarah Op Daulat pada 2013, malah menghimpunkan sejarah kepolisan dan pelbagai peristiwa penting di Sabah sejak era penjajahan sehingga kini.

"Kita membuat beberapa gambaran bagaimana peristiwa-peristiwa besar itu terjadi di Sabah dan menunjukkan kepada orang awam berkaitan senjata yang digunakan dalam beberapa peristiwa penting.

Iklan

"Antaranya peristiwa berdarah, terutama sekali Op Daulat yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu pada 2013," katanya.

Secara keseluruhan, Jauteh berkata, terdapat ratusan bahan dipamerkan merangkumi kelengkapan, logistik, gambar dan peralatan yang digunakan pasukan polis dari era penjajahan sehingga zaman moden.

"Jumlah bahan itu banyak. Saya rasa kalau dikira setiap item, ada beratus-ratus item dan ia lebih banyak berkaitan kelengkapan kepolisan itu sendiri, sejarah dan gambar.

"Turut dipamerkan logistik yang digunakan oleh pihak polis sama ada pada era penjajahan sehinggalah ke era moden.

"Di samping itu, kita mempamerkan peralatan lain seperti mesin taip, alat perhubungan, senjata dan juga sejarah kepolisan itu sendiri serta peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Sabah," katanya.

Jauteh turut mengesahkan bahan berkaitan Suruhanjaya Cobbold yang dipamerkan di galeri berkenaan juga adalah asli.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan galeri berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri perkembangan sejarah kepolisan di Sabah.

"Hari ini, 17 September kita memulakan pembukaan galeri ini secara terbuka kepada masyarakat awam untuk membuat lawatan dan melihat sejarah polis di Sabah.

"Selepas ini, kita mengalu-alukan kehadiran daripada mana-mana pihak untuk sama-sama hadir melihat sendiri perkembangan sejarah kepolisan Sabah," katanya.

Galeri Polis Sabah dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dengan lawatan dibenarkan sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

Bagaimanapun, pengunjung perlu menghubungi pegawai yang bertanggungjawab terlebih dahulu bagi membuat temu janji atau menetapkan tarikh lawatan.

"Kita akan sediakan nombor perhubungan dan nombor pegawai untuk mereka menghubungi pegawai yang bertanggungjawab di galeri ini bagi membuat temu janji ataupun menetapkan tarikh lawatan.

"Sama ada individu atau rombongan, kita akan terima. Yang penting mereka telah berhubung dengan pihak Galeri Polis Sabah dan memberikan butiran awal untuk kita dokumentasikan," katanya.

Jauteh menjelaskan, pemakluman awal diperlukan kerana galeri berkenaan terletak dalam kawasan larangan dan setiap kemasukan perlu direkodkan mengikut prosedur keselamatan.

"Kalau datang tanpa pemakluman, agak sukar kerana kita kena sedia maklum bahawa kawasan ini merupakan kawasan larangan.

"Jadi setiap yang masuk itu kita kena dokumentasikan mengikut prosedur keselamatan yang telah ditetapkan," katanya.

Mengenai bayaran masuk, beliau berkata, setakat ini tiada kadar ditetapkan dan perkara berkenaan akan dinilai selepas pihaknya melihat perkembangan lawatan ke galeri itu.

"Kita akan menilai sama ada wajar atau tidak kita kenakan bayaran berdasarkan kepada kesan lawatan berkenaan," katanya.