PRESIDEN baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan tidak mahu membuang masa apabila berhasrat menggunakan baki dua tahun setengah penggal 2025-2029 untuk membawa perubahan dan pembaharuan dalam bola sepak negara.
Beliau berkata, tempoh berkenaan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan kepimpinan baharu terlebih dahulu memberi perhatian kepada perkara yang dibangkitkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum langkah seterusnya dirangka bagi memperkemaskan pentadbiran badan induk itu.
Menurutnya, beberapa perancangan juga sudah tersedia dan akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dalam tempoh 14 hari bagi mendapatkan persetujuan semua ahli sebelum dilaksanakan.
"Seterusnya sudah tentu di peringkat kepimpinan yang dilantik pada hari ini perlu menjalankan tugas-tugas utamanya untuk menyelesaikan apa juga pandangan dan komen-komen daripada AFC yang lepas.
"Itu kita kena buat. Selepas itu kita akan merancang atau yang sudah kita rancang untuk bentangkan di dalam mesyuarat pertama dan mendapat persetujuan semua Jawatankuasa Eksekutif.
"Dari situ kita akan bergerak untuk memastikan bola sepak Malaysia dalam masa dua tahun setengah, sedapat mungkin kita akan melakukan sesuatu untuk mencari satu perubahan dan pembaharuan, Insya-ALLAH," katanya ketika sidang media pertamanya selaku Presiden FAM pada Khamis.
Ab Ghani berkata, usaha berkenaan penting bagi mengembalikan keyakinan semua pemegang taruh, penyokong dan rakyat Malaysia terhadap pengurusan bola sepak negara.
"Jadi ini kita kena atasi dan untuk meyakinkan kembali semua pemegang taruh dan juga semua penyokong bola sepak dan rakyat Malaysia khususnya, Insya-ALLAH," katanya.
Ab Ghani sebelum itu mencatat kemenangan besar dalam Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 apabila memperoleh 20 undi berbanding lima undi yang diraih pencabarnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Kemenangan itu menyaksikan beliau mengambil alih kerusi Presiden FAM bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029.
Lebih menarik, Ab Ghani turut mencipta sejarah sebagai bekas pemain pertama yang bergelar Presiden FAM, sekali gus menjadi Presiden kesembilan dalam sejarah badan induk bola sepak negara itu sejak 1951.
Perjalanannya daripada bekas pemain pada era 1980-an kepada pentadbir bola sepak memberikan pengalaman daripada dua perspektif berbeza, iaitu di dalam dan luar padang.
Beliau sebelum ini pernah menerajui Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selain mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak, termasuk pernah berada dalam struktur kepimpinan FAM.
Dalam merealisasikan agenda perubahan itu, Ab Ghani akan dibantu barisan Exco yang turut dipilih menerusi Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026.
Datuk Seri Rosmadi Ismail dipilih sebagai Naib Presiden 1, manakala Datuk N Saaran mengisi jawatan Naib Presiden 3.
Tiga wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA) yang dipilih ke kerusi Exco ialah Mohd Azizudin Mohd Shariff, Datuk Azhar Jamaluddin dan Datuk Alijus Sipil.
Bagi kerusi Exco FC yang mewakili kelompok kelab pula, Datuk Kamarudin Hassan dan Datuk Syed Mahadi Syed Hassan dipilih mengisi dua jawatan berkenaan.
Datuk Zainal Abidin Hassan dipilih sebagai Exco Profesional, manakala Datuk Suraya Yaacob memenangi kerusi Exco Wanita.
Barisan kepimpinan baharu itu kini mempunyai baki dua tahun setengah untuk melaksanakan perancangan yang digariskan Ab Ghani, dengan penyelesaian perkara dibangkitkan AFC serta usaha membawa perubahan dan pembaharuan menjadi antara keutamaan.
Ab Ghani juga mahu semua anggota kepimpinan baharu bergerak sebagai satu pasukan bagi memperkemaskan pengurusan bola sepak negara, selain membina semula keyakinan pemegang taruh, penyokong dan rakyat Malaysia.