SHAH ALAM - Platform e-hailing dan p-hailing dicadang mempertimbangkan model potongan yang lebih fleksibel mengikut nilai dan jenis pekerjaan, bukannya bergantung sepenuhnya kepada satu kadar peratusan sama bagi setiap pekerjaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata, prinsipnya mudah iaitu pekerjaan bernilai rendah perlu dikenakan potongan platform lebih rendah, manakala pekerjaan bernilai lebih tinggi boleh disesuaikan dengan mengambil kira jarak dan kos yang ditanggung.
"Ekonomi gig telah menjadi salah satu sumber pendapatan penting bagi rakyat Malaysia dan bagi sebahagian pemandu serta penghantar, platform digital bukan sekadar pekerjaan sampingan, tetapi merupakan sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga.
"Justeru, apabila industri ini berkembang, kita perlu memastikan manfaat pertumbuhan tersebut turut dirasai oleh mereka yang berada di jalan raya setiap hari untuk memastikan perkhidmatan ini berjalan.
"Saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya platform e-hailing dan p-hailing menilai semula potongan yang dikenakan daripada pendapatan pemandu dan penghantar, khususnya bagi pekerjaan yang mempunyai nilai bayaran rendah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Altimet berkata, pemandu dan penghantar tetap menanggung kos operasi sendiri seperti petrol, penyelenggaraan kenderaan, tayar, insurans, tol, parkir, telefon dan susut nilai kenderaan.
Menurutnya, cadangan berkenaan bukan bertujuan meminta platform mengorbankan keuntungan, sebaliknya mencari keseimbangan lebih baik antara kelangsungan perniagaan platform dan pendapatan bersih mereka yang melaksanakan pekerjaan tersebut.
"Saya juga mencadangkan beberapa penambahbaikan antaranya mengurangkan potongan platform bagi pekerjaan bernilai rendah.
"Platform boleh memperkenalkan kadar potongan berperingkat supaya pemandu dan penghantar menerima bahagian yang lebih munasabah daripada pekerjaan bernilai kecil," katanya.
Syed Ahmad berkata, bayaran juga perlu mengambil kira bukan sahaja jarak penghantaran, tetapi jarak yang perlu dilalui pemandu dan penghantar untuk sampai ke lokasi kutipan.
"Masa dan petrol yang digunakan sebelum sesuatu pekerjaan bermula juga merupakan sebahagian daripada kos bekerja," katanya.
Beliau turut mencadangkan bayaran menunggu yang lebih adil apabila pemandu dan penghantar telah tiba di lokasi tetapi perlu menunggu disebabkan kelewatan pelanggan atau premis.
Menurutnya, masa menunggu merupakan masa bekerja dan wajar diberi pampasan yang munasabah.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemandu dan penghantar seharusnya dapat melihat dengan jelas nilai sesuatu pekerjaan, jumlah yang dibayar pelanggan, jumlah yang dipotong platform serta jumlah bersih yang diterima.
"Ketelusan tersebut membolehkan pemandu dan penghantar membuat keputusan lebih baik mengenai pekerjaan yang diambil.
"Selain itu, perlu juga disediakan saluran rayuan yang jelas dan munasabah apabila akaun pemandu atau penghantar digantung atau dinyahaktifkan.
"Keadaan ini terutama apabila keputusan tersebut memberi kesan terus kepada sumber pendapatan mereka," katanya.
Syed Ahmad berkata, cadangan tersebut bukan serangan terhadap mana-mana platform dan bukan juga bermaksud kerajaan perlu campur tangan dalam setiap keputusan komersial syarikat.
Sebaliknya, beliau menyeru supaya platform mengambil langkah ke hadapan bagi membina hubungan lebih adil dan mampan dengan pemandu serta penghantar.
"Platform menyediakan teknologi dan akses kepada pelanggan manakala pemandu dan penghantar menyediakan kenderaan, masa, tenaga dan menanggung sebahagian besar kos operasi di lapangan. Kedua-duanya saling memerlukan.
"Kejayaan satu pihak tidak sepatutnya dilihat terpisah daripada kesejahteraan pihak yang lain. Kita mahu melihat industri gig terus berkembang kerana ia menyediakan peluang pendapatan kepada rakyat.
"Tetapi pertumbuhan itu perlu diterjemahkan kepada pendapatan bersih yang lebih baik untuk driver dan rider, bukan sekadar peningkatan jumlah transaksi di dalam aplikasi," katanya.
Ujarnya, platform yang mengambil berat tentang kebajikan pemandu dan penghantar bukan sahaja akan mendapat kepercayaan pekerja gig, malah akan membina industri yang lebih stabil dan mampan dalam jangka panjang.
"Platform naik, pendapatan bersih driver dan rider juga mesti naik. Itulah asas ekonomi gig yang benar-benar inklusif," katanya.
tamat