AMK gesa percepat penyelesaian caj bil elektrik

Iklan
Surau Kampung Sayong Hilir antara 10 NGO yang menerima Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri disampaikan Muhammad Kamil (kanan) di Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta di Tanjung Rambutan pada Khamis.

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap kerajaan dapat mengambil langkah segera dan berkesan bagi meringankan beban rakyat susulan peningkatan bil elektrik yang menimbulkan keresahan ketika ini.

Ketua AMK Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, harapan itu selari dengan keluhan pengguna yang terkesan dengan perubahan kadar bayaran dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Iklan
Iklan

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil maklum isu berkenaan dan mengumumkan satu perbincangan khusus akan diadakan melibatkan TNB bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

"Kita berharap akan ada tindakan susulan yang dapat meringankan, kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan pendekatan (caj elektrik) ketika ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri kepada pelbagai NGO Perak di Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta di Tanjung Rambutan pada Khamis.

Sumbangan keseluruhan berjumlah RM117,000 itu diberikan kepada 10 NGO antaranya Persatuan Penganut Sri Muniswarar, Persatuan Kebajikan Komuniti Penyanyang Kuala Kangsar, Surau Kampung Sayong Hilir, Kelab Muda Mudi Inspirasi Ulu Kinta dan Pertubuhan Proaktif Rakyat Parlimen Tambun.

Iklan

Muhammad Kamil berkata, meskipun mekanisme sedia ada dilihat mampu mengawal kos, faktor seperti cuaca panas dan jerebu berkemungkinan mempengaruhi peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan pengguna.

"Insya-ALLAH kita nantikan sebarang pengumuman atau langkah susulan kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

"Kerajaan hari ini sentiasa mendengar keluhan serta permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat," katanya.

Pada Rabu, TNB memaklumkan Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) tidak menyebabkan peningkatan mendadak bil elektrik pengguna.

Menurut TNB, perubahan bil bulanan lebih dipengaruhi corak penggunaan elektrik seperti ketika musim perayaan, cuti sekolah serta amalan bekerja dari rumah.

TNB turut menjelaskan, AFA yang diperkenalkan pada 1 Julai 2025 bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bukan caj tambahan baharu dan tidak menyalurkan keuntungan kepada syarikat utiliti itu.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata, lawatan Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi, India disifatkan berjaya dengan pelbagai manfaat diperoleh menerusi pertemuan dua hala bersama pemimpin dunia.

Katanya, sejurus tiba di India, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat bersama Presiden Rusia diikuti pertemuan dengan Presiden Iran serta pemimpin negara lain.

"Ini menunjukkan komitmen serta pengiktirafan negara-negara besar terhadap kedudukan Malaysia yang dilihat mempunyai potensi besar di peringkat antarabangsa,” katanya.