SHAH ALAM - Kerajaan wajar membantu lebih banyak isi rumah beralih kepada tenaga solar supaya mereka berpeluang mengurangkan bil elektrik secara berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ADUN Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah kerajaan meneliti tindakan mitigasi bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan bil elektrik.
"Namun, rakyat memerlukan penyelesaian yang berkesan untuk jangka panjang.
"Sehubungan itu, kami mencadangkan dua langkah iaitu pemberian insentif dan rebat kerajaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, satu mesyuarat khas akan diadakan bagi meneliti langkah mitigasi segera susulan keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini, yang antara lain dipengaruhi peningkatan penggunaan elektrik akibat keadaan jerebu dan cuaca panas.
Menurut Anwar, mesyuarat itu membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan (MOF).
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal menjelaskan insentif itu diberikan kepada syarikat dalam industri solar bagi menggalakkan lebih banyak penyedia menawarkan perkhidmatan pemasangan.
Menurutnya, persaingan yang sihat dapat membantu menurunkan harga dan menjadikan pemasangan solar lebih mampu milik.
"Selain itu, berikan rebat kerajaan kepada isi rumah yang memasang sistem solar. Rebat ini dapat mengurangkan kos pemasangan awal, yang sering menjadi halangan utama kepada rakyat untuk menggunakannya.
"Jika kerajaan terus bergantung pada bantuan untuk menampung kenaikan kos penjanaan elektrik, beban kewangan negara boleh meningkat apabila harga bahan api naik.
"Pelaburan untuk membantu rakyat menggunakan tenaga solar pula berpotensi mengurangkan kebergantungan isi rumah kepada bekalan elektrik daripada grid dalam jangka panjang," katanya.
Ujarnya, sudah tiba masanya kerajaan menjadikan tenaga solar pilihan yang mampu dicapai oleh rakyat.
"Ringankan bil mereka hari ini dan berikan mereka jalan untuk menjimatkan kos elektrik pada masa hadapan," katanya.