Hina mahkamah: Betty Banafee, adik mohon maaf terbuka

Iklan
Betty Banafee

PENYANYI dan pelakon, Betty Banafee serta adiknya, Shakib Abu Bakar Banafee, membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam selepas didapati bersalah mengingkari perintah mahkamah.

Permohonan maaf itu dibuat susulan tindakan kedua-duanya mengeluarkan dan mengekalkan kenyataan mengenai sebuah syarikat perkapalan bumiputera di Johor yang didakwa menjejaskan reputasi syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

Betty atau nama sebenarnya, Ibtisam Betty Banafee Sekh Abu Bakar, sebelum ini menerima perintah injunksi pada 11 September 2024.

Shakib, seorang peniaga restoran, turut menerima arahan sama berhubung kesalahan berkenaan.

Iklan

Peguam yang mewakili syarikat perkapalan itu, Datuk Arthur Wang Ming Way berkata, Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 4 November 2025 memberikan kebenaran untuk permohonan komital difailkan terhadap kedua-duanya.

Katanya, permohonan itu susulan tindakan mengekalkan hantaran mengenai syarikat berkenaan yang dimuat naik Betty di akaun TikTok, Instagram dan Facebook miliknya pada 1 September 2024, 8 September 2024 dan 12 Disember 2024.

Iklan

“Permohonan komital tersebut merupakan permohonan komital kedua terhadap adiknya, manakala permohonan komital pertama terhadap Betty Banafee.

“Tiga notis telah dihantar sebelum ini bagi menggesa penurunan kandungan berkenaan, namun tidak menerima sebarang pengesahan bertulis positif,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Arthur berkata, Betty dan Shakib bersetuju membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari mulai semalam menerusi platform media sosial Betty.

Kandungan permohonan maaf itu perlu dikekalkan di platform berkenaan selama sebulan.

Beliau berkata, peguam yang mewakili Betty dan Shakib juga adalah firma guaman ketiga selepas dua firma guaman terdahulu mereka membuat keputusan menarik diri daripada mewakili anak guam masing-masing.

Sebelum ini, mahkamah turut menolak permohonan Shakib untuk melakukan semakan dokumen terhadap syarikat perkapalan berkenaan pada 30 April 2023.

Arthur berkata, pasangan adik-beradik itu turut berdepan satu lagi prosiding mahkamah berkaitan saman fitnah membabitkan syarikat sama yang difailkan sejak Januari 2023 dan masih berjalan sehingga kini.

Pada September 2024, Betty dan Shakib turut mencetuskan kontroversi selepas membuat beberapa kenyataan yang mempertikaikan siasatan polis berhubung kes yang diklasifikasikan sebagai NFA.