SHAH ALAM – Hampir dua jam meluangkan masa bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah mengambil kesempatan mendapatkan nasihat mengenai alam perkahwinan.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, Syed Saddiq menyifatkan isteri Perdana Menteri itu antara individu paling layak memberikan pandangan mengenai rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan.
Menurutnya, pengalaman Wan Azizah mengharungi dunia politik selain peranan sebagai isteri dan ibu menjadikan beliau seorang yang memahami cabaran serta pengorbanan dalam kehidupan berkeluarga.
"Beliau memahami selok-belok dunia politik. Beliau tahu besarnya pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu.
"Diuji berkali-kali, dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga," katanya.
Syed Saddiq turut menyifatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’ berdasarkan keteguhan dan kesetiaannya dalam mengharungi pelbagai cabaran kehidupan.
Syed Saddiq berkata, beliau pernah mendapat penghormatan untuk berkhidmat bersama Wan Azizah ketika berada dalam Kabinet, pengalaman yang disifatkannya sebagai satu penghormatan dan keistimewaan yang sentiasa dihargai.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Wan Azizah atas masa yang diluangkan untuk berkongsi nasihat, cerita dan pesanan kepada mereka berdua.
"Insya-ALLAH nasihat itu kami bawa masuk ke alam perkahwinan," katanya.