LONDON - Penyanyi terkenal Britain, Ed Sheeran menegaskan keputusan menggugurkan penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Macklemore daripada jelajah konsertnya di negara itu dibuat oleh pihak penganjur dan bukan daripada dirinya.
Penjelasan itu dibuat selepas Macklemore, atau nama sebenarnya Ben Haggerty, menyuarakan sokongan terhadap Palestin ketika menyertai jelajah Sheeran di Stadium MetLife, New Jersey awal bulan ini.
Menerusi hantaran enam slaid di Instagram pada Selasa, Sheeran berkata, beliau perlu 'menjelaskan beberapa fakta' berhubung kontroversi berkenaan.
Menurutnya, keputusan menggugurkan Macklemore daripada siri jelajah The Loop dibuat selepas beberapa 'venue' memberi amaran bahawa persembahan akan dibatalkan sekiranya penyanyi rap itu terus berada dalam barisan artis.
“Saya dimaklumkan pendirian itu berdasarkan cara Macklemore menyampaikan sebahagian mesejnya ketika persembahan dan bukannya keseluruhan perkara yang diperkatakan.
“Saya berbincang panjang dengan pihak venue sepanjang minggu untuk cuba mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Kontroversi tercetus selepas Macklemore melaungkan 'Bebaskan Palestin' dan mengeluarkan beberapa kenyataan menyokong Palestin ketika membuat persembahan bersama Sheeran.
Pemilik pasukan New England Patriots dalam Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL), Robert Kraft sebelum ini mengesahkan beliau mendesak supaya Macklemore tidak membuat persembahan di Stadium Gillette, Massachusetts.
Kraft mendakwa keputusan itu dibuat susulan apa yang disifatkannya sebagai sejarah retorik dan imej antisemitisme membabitkan penyanyi berkenaan.
Macklemore pula mendakwa Sheeran memberitahunya bahawa Kraft telah menggerakkan boikot dalam kalangan pemilik stadium lain sekiranya beliau terus menyertai jelajah berkenaan.
Kraft bagaimanapun sebelum ini tidak secara langsung mengulas dakwaan bahawa beliau menghubungi pemilik stadium lain. Penganjur jelajah, Messina Touring Group pula mengesahkan beberapa venue memaklumkan mereka tidak akan membenarkan konsert berlangsung sekiranya Macklemore kekal dalam barisan artis.
Susulan pengguguran Macklemore, beberapa artis termasuk penyanyi Ireland, Aaron Rowe; kumpulan Beoga dari Ireland; Lukas Graham dari Denmark dan pemuzik Finneas mengumumkan menarik diri daripada jelajah tersebut sambil menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.
‘Saya tidak bersubahat’
Dalam penjelasannya, Sheeran turut menolak dakwaan bahawa beliau bersubahat dengan tindakan berkenaan sambil menyatakan rasa terkejut dan dukacitanya terhadap konflik Israel-Palestin.
“Saya tidak bersubahat. Saya mempunyai pandangan peribadi mengenai konflik yang dahsyat ini.
“Hanya kerana saya memilih untuk tidak bersuara secara terbuka, ia tidak bermakna saya tiada pendirian atau tidak mengambil berat,” katanya.
Sheeran turut menjelaskan beliau memilih untuk tidak menggunakan platform profesionalnya bagi membicarakan politik kerana peminat yang menghadiri konsertnya tidak datang untuk mengikuti forum politik.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 35 tahun itu menghormati ketegasan Macklemore dalam memperjuangkan perkara yang dipercayainya.
“Saya menghormati keteguhan Macklemore untuk berdiri dan bersuara mengenai apa yang dipercayainya.
“Namun, terdapat pelbagai pendekatan untuk mencapai matlamat yang sama, iaitu keamanan,” katanya.
Macklemore yang menyifatkan Sheeran sebagai sahabat rapat berkata, kedua-duanya telah beberapa kali berbincang mengenai isu berkenaan sepanjang minggu lalu.
Beliau bagaimanapun kekal dengan pendiriannya untuk menyuarakan sokongan terhadap Palestin. - Agensi