KOTA KINABALU - Memperjuangkan hak negeri bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan itu sendiri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, segala hak dan kepentingan Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuangkan dan direalisasikan melalui semangat kerjasama erat bersama kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, Hari Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, terutama dari segi MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas penting dalam membentuk hubungan antara Sabah dengan Persekutuan.
"Kerajaan negeri akan terus konsisten mempertahankan kepentingan dan hak Sabah melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama antara kerajaan.
"Kita percaya bahawa hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui.
"Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Seri Joachim Gunsalam sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada malam Rabu.
Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, makna 16 September kekal besar kerana negara ini dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai sebuah Persekutuan yang berdaulat.
"Bagi kita di Sabah, tarikh 16 September ini amat bermakna kerana ia melahirkan ikatan persaudaraan yang kukuh dalam kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan.
"Kekuatan Malaysia terletak pada keharmonian rakyatnya dan Sabah sendiri adalah contoh kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya terus memelihara budaya muafakat dan tidak membiarkan perbezaan pandangan menjadi jurang yang memisahkan masyarakat.
"Kita mesti terus memelihara budaya muafakat ini. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan.
"Dalam era media sosial, kita juga perlu lebih bijaksana menilai maklumat, menolak fitnah dan sentimen yang memecah-belahkan, serta menggunakan teknologi untuk mendekatkan masyarakat dan membuka peluang baharu," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa semangat Hari Malaysia ke masa hadapan dan perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran, keyakinan serta ruang untuk mencipta.
Pada masa sama katanya, golongan itu perlu mengenali sejarah, menghargai warisan serta memahami bahawa kemerdekaan dan pembentukan negara datang bersama tanggungjawab untuk menjaga keamanan, mengekalkan perpaduan dan mempertahankan kedaulatan.
Menyentuh tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, 'Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati', beliau berkata, ia membawa mesej mengenai usaha memastikan pembangunan dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil serta inklusif oleh semua rakyat.
Menurutnya, kemajuan negara tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan angka atau pembangunan fizikal, tetapi perlu diterjemahkan melalui peningkatan kualiti hidup rakyat.
"Bagi Sabah, kesejahteraan juga bermaksud jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan, ketersambungan dipertingkat dan peluang ekonomi diperluas hingga ke akar umbi.
"Namun kesejahteraan hanya dapat dikekalkan dalam suasana aman dan bersatu. Sebab itu perpaduan bukan sekadar slogan pada musim sambutan, perpaduan ialah prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita," katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri mahu Sabah terus maju dalam sebuah negara Malaysia yang sejahtera dan makmur, selain akan terus memainkan peranan menyediakan persekitaran kondusif untuk pembangunan negeri.
Sementara itu, pada sambutan Hari Malaysia ke-63 Peringkat Kebangsaan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), beliau turut menyeru rakyat supaya terus menjaga keamanan serta menjadikan sambutan itu sebagai titik tolak untuk bekerja lebih kuat demi kemajuan negara.
Katanya, kepelbagaian wilayah, bangsa, budaya dan agama yang membentuk Malaysia adalah kekuatan utama yang menyatukan rakyat sebagai sebuah keluarga.
"Marilah kita terus memupuk semangat muafakat, saling menghormati dan bekerjasama demi sebuah Malaysia yang aman, stabil dan sejahtera," katanya.