JAKARTA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal mengadakan lawatan ke Jakarta bermula Khamis bagi memperkukuh kerjasama Malaysia-Indonesia dalam industri halal, selain membincangkan isu semasa termasuk jerebu rentas sempadan.
Bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzaffar Shah Mustafa berkata, Ahmad Zahid dijadual mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka sebaik tiba, selain beberapa pertemuan lain sepanjang lawatan bagi membincangkan hubungan dan kerjasama dua hala.
Iklan
Iklan
“Lawatan ini akan menjadi satu platform yang amat penting, terutama dalam memajukan beberapa inisiatif dua hala yang sedang dilaksanakan termasuk pembangunan halal, pembangunan desa, pengurusan bencana, isu sempadan dan maritim, perdagangan dan kesalinghubungan ekonomi serta kerjasama pendidikan dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Lawatan empat hari sehingga 20 September itu adalah atas jemputan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia sempena Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5, dengan Ahmad Zahid dijadualkan menghadiri majlis pembukaan pada 18 September dan menjadi ahli panel dalam sesi berkaitan kerjasama halal serantau.
Muzaffar Shah berkata, Malaysia melihat H20 sebagai platform penting bagi memperkukuh dialog antara kerajaan, pihak berkuasa halal dan pemain industri ke arah membangunkan ekosistem halal yang lebih bersepadu, saling melengkapi serta berdaya saing di peringkat global.
“Malaysia dan Indonesia adalah pemain utama dalam ekosistem halal dan kita berpendapat kedua-dua negara seharusnya bekerjasama dalam menerajui kerjasama yang lebih erat, terutama di peringkat ASEAN dan seterusnya pembangunan halal serantau yang akan terus dikembangkan di peringkat global,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN dengan Malaysia dan Indonesia sebagai penggerak utama, namun perkara itu masih di peringkat perbincangan dan diharap dapat terus diperhalusi menerusi lawatan berkenaan.