KEMAMAN - Bunyi geseran pasir yang menghentam dinding rumah pada waktu malam membongkar kehadiran 'tetamu istimewa' iaitu seekor penyu dikesan naik untuk bertelur di halaman sebuah rumah di Kampung Geliga di sini.
Kejadian itu disedari seorang guru taska, Nadia Sharheera Talib, 31, selepas terdengar bunyi pelik berkenaan sekitar jam 8 malam pada 30 Julai lalu.
Menurutnya, penyu berkenaan dikesan menghampiri rumah bapanya, Talib Kubek, 65, yang terletak kurang 100 meter dari Pantai Geliga, di sini.
"Mula-mula ingat bunyi apa sebab suasana malam memang sunyi, jadi jelas sangat dengar sesuatu mengorek pasir dan terkena dinding rumah. Lepas periksa, baru perasan ada seekor penyu bersaiz agak besar sedang menggali lubang nak bertelur.
Pengalaman menarik Nadia Sharheera terserempak penyu itu tular di laman Threads selepas ia dikongsikan pada Selasa.
Guru taska itu berkongsi pengalaman tersebut dengan memuat naik kapsyen"Tetamu special kita. Naik belakang rumah je, jumpa lagi nanti" yang kini meraih lebih 11,000 reaksi serta 515 perkongsian daripada pengguna media sosial.
Mengulas lanjut, Nadia Sharheera memberitahu, penyu yang dipercayai daripada spesies penyu agar itu mengambil masa agak lama untuk mengorek lubang dan sempat berhenti rehat beberapa kali.
Katanya, saiz reptilia marin itu dianggarkan agak besar jika dibandingkan dengan saiz anak bongsunya yang berusia lima tahun.
Jelasnya lagi, dia menggunakan rakaman kamera mod malam daripada telefon pintar yang tidak mengeluarkan cahaya agar tidak mengganggu reptilia marin itu.
"Ini kali kedua penyu naik di kawasan rumah. Kejadian pertama sudah bertahun-tahun lamanya.
"Saudara-mara ada juga datang sekejap untuk tengok penyu tu, tapi kami tidak mengganggu sebab kawasan situ gelap dan tak mahu buat ia terkejut.
"Apa yang pasti, penyu itu tidak bertelur dan kami tidak membuat sebarang laporan kepada mana-mana pihak kerana ia terus kembali ke laut," katanya.