Tapir betina mati dilanggar di Dungun

Iklan
Pemeriksaan mendapati bangkai tapir itu mempunyai kecederaan di bahagian kepala serta beberapa kesan calar pada badan.

DUNGUN - Seekor tapir betina dewasa seberat kira-kira 200 kilogram mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Kampung Serdang, di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 8.30 malam.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan mendapati bangkai tapir itu mempunyai kecederaan di bahagian kepala serta beberapa kesan calar pada badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lokasi kejadian terletak kira-kira 100 meter dari Hutan Simpan Bukit Bauk dan kawasan itu telah diletakkan papan tanda amaran lintasan hidupan liar.

Iklan
Iklan

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu, khususnya di kawasan berdekatan hutan dan lintasan hidupan liar serta sentiasa peka terhadap papan tanda amaran. - Bernama