KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan sebuah kotak plastik yang disangka mengandungi bahan radioaktif di hadapan sebuah premis di Sri Petaling di sini sebenarnya alatan untuk aktiviti pengukuhan pasukan.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, hasil siasatan mendapati kotak itu mengandungi 20 unit bata plastik permainan dinamakan radioactive bomb yang digunakan sebagai alatan untuk aktiviti ujian minda secara berkumpulan.
Beliau berkata, siasatan mendapati kotak berkenaan tertinggal secara tidak sengaja oleh seorang pekerja syarikat pengurusan latihan selepas mengendalikan program bina pasukan di Ipoh, Perak.
"Pekerja berkenaan tertinggal kotak itu di hadapan premis Watsons di Sri Petaling kira-kira 11 malam pada 12 Sept lepas ketika dalam perjalanan pulang daripada program berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pengarah syarikat terbabit yang dikenali sebagai Encik Tan, menghubungi pihak polis bagi memaklumkan barangan plastik terbabit adalah milik syarikatnya.
Chang Hook berkata berdasarkan keterangan pengarah syarikat berkenaan, insiden itu tiada kaitan dengan sebarang kegiatan jenayah atau ancaman keselamatan sebenar.
Beliau berkata semakan lanjut pihak polis juga mendapati modul permainan radioactive bomb berserta manual fail PDF yang ditawarkan oleh syarikat terbabit memang wujud bagi tujuan menggalakkan kerjasama ahli pasukan serta meningkatkan kecergasan minda peserta.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengesahkan penemuan kotak berkenaan oleh seorang wanita, yang pada awalnya mencatat bacaan radiasi agak tinggi di kawasan sekitar.
Susulan laporan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) memusnahkan kotak terbabit menggunakan Recoilless Disruptor 5.0 sebelum mendapati kotak itu mengandungi blok binaan mainan berwarna-warni.
Pasukan Jabatan Tenaga Atom (JTA) yang turut berada di lokasi kemudian mengesahkan tiada sisa radioaktif sebenar dikesan.- Bernama